Kebanyakan laptop hadir dengan mod prestasi berbeza untuk membolehkan pengguna mendapatkan prestasi terbaik ataupun jangkahayat bateri yang lebih lama bergantung kepada keperluan penggunaan. ASUS adalah salah satu daripada pembuat komputer riba yang terkenal untuk penawaran siri komputer riba ASUS ROG Zephyrus yang tampil dengan prestasi berkuasa dan juga rekaan yang nipis dan ringan.
Seorang pengguna di Reddit baru-baru ini telah melaporkan tentang satu isu yang agak aneh dengan komputer ribanya, dimana ia ditetapkan pada mode Eco untuk penjimatan bateri yang membolehkan individu tersebut menggunakan komputer riba untuk lebih lama dengan satu pengecasan. Isunya di sini ialah setelah menggunakan mod Eco ini untuk beberapa minggu, beliau melaporkan bahawa sistem operasi Windows 11 telah memadamkan perisian pemandu grafik NVIDIA pada komputer riba tersebut.

Perkara ini berlaku kerana apabila komputer riba tersebut ditetapkan pada mod Eco, butiran mengenai kad grafik yang digunakan tidak akan dipamerkan pada menu Device Manager kerana fungsi MUX Switch. Ini membolehkan komputer riba untuk menukar jenis kad grafik yang digunakan dengan input minima oleh pengguna. Dalam mod Eco, komputer riba ini akan menggunakan cip pemprosesan grafik terbina yang lebih cekap penggunaan kuasanya.
Windows 11 juga mempunyai sebuah fungsi yang akan memadamkan sebarang perisian yang tidak digunakan selama 20-30 hari, dan fungsi ini nampaknya telah memadamkan perisian pemandu grafik NVIDIA yang “tidak digunakan” itu. Apabila pengguna Reddit tersebut mahu memainkan sebuah permainan komputer, beliau terkejut kerana permainan tersebut tidak menggunakan kad grafik NVIDIA yang lebih berkuasa.

Sayangnya, fungsi memadamkan perisian-perisian lama ini bukanlah sebuah fungsi yang boleh dimatikan dengan mudah, dan memerlukan pengguna untuk memasuki PowerShell dan memasukkan kod untuk menyahaktifkannya.
Saranan ASUS nampaknya ialah untuk menggunakan mod Standard apabila digunakan untuk tugasan biasa dari semasa ke semasa supaya sistem operasi sedar bahawa perisian kad grafik NVIDIA masih lagi digunakan dan diperlukan.
Buat masa ini, Windows 11 juga masih tidak memperkenalkan lagi ciri ‘senarai putih’ untuk perisian-perisian yang dipasang supaya ia tidak dibuang sekiranya sistem operasi mengesan bahawa ia tidak digunakan untuk tempoh masa yang lama.
Sumber: Reddit





