liza30/09/2026 - 18:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – WTK Holdings Bhd mencadangkan pelupusan tiga hartanah industri miliknya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang kepada NationGate System Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, WTK berkata anak syarikat milik penuhnya, Loytape Industries Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan NationGate System bagi pelupusan berkenaan.
Tiga hartanah tersebut mempunyai keluasan tanah keseluruhan 265,003 kaki persegi, membabitkan dua bidang tanah yang mempunyai bangunan kilang, pejabat dan bangunan berkaitan, serta satu bidang tanah kosong.
Menurut WTK, harga pelupusan RM38 juta itu mewakili premium sebanyak 15.5% berbanding nilai pasaran gabungan ketiga-tiga hartanah berkenaan sebanyak RM32.9 juta.
Pelupusan itu dijangka memberikan keuntungan bersih pro forma sekitar RM30.46 juta kepada kumpulan, selepas mengambil kira nilai buku bersih teraudit hartanah terbabit serta anggaran cukai keuntungan harta tanah.
Daripada hasil pelupusan berkenaan, sebanyak RM33.92 juta akan digunakan untuk modal kerja, manakala RM2.58 juta diperuntukkan bagi cukai keuntungan harta tanah dan RM1.5 juta untuk perbelanjaan berkaitan pelupusan.
Strategi kumpulan kurangkan aset
WTK berkata pelupusan itu merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan dan mengimbangi semula portfolio asetnya susulan kejadian kebakaran di kemudahan pembuatan kumpulan di Seberang Perai pada awal 2025.
Susulan itu, kumpulan sedang mengubah hala perniagaan pita kepada model yang lebih ringan aset (asset-light), dengan mengurangkan tumpuan terhadap aktiviti pembuatan.
Sebaliknya, operasi perniagaan pita akan lebih tertumpu kepada aktiviti penukaran bahan dan pengedaran, manakala operasi tersebut akan dipindahkan ke kemudahan yang lebih kecil.
Menurut WTK, langkah itu membolehkan kumpulan memaksimumkan nilai hartanah berkenaan, selain meningkatkan kecairan dan membolehkan modal disalurkan kepada peluang pertumbuhan lebih tinggi dalam perniagaan teras kumpulan.
NationGate System pula terlibat dalam aktiviti pembuatan dan reka bentuk komponen elektronik serta perkhidmatan pergudangan, dengan pemegang sahamnya termasuk NationGate Solution (M) Sdn Bhd dan Nationgate Holdings Bhd.
WTK berkata transaksi tersebut dijangka diselesaikan pada suku kedua 2027, tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka serta semua kelulusan diperlukan.
Pelupusan itu pada masa sama memberikan peluang kepada WTK untuk mengurangkan aset yang tidak lagi menjadi keutamaan dalam operasi perniagaan pita dan pada masa yang sama mengekalkan fokus terhadap model operasi yang memerlukan penggunaan aset lebih rendah. - DagangNews.com





