
PETALING JAYA: Malaysia perlu mewujudkan mekanisme penilaian risiko perjalanan lebih sistematik dan berasaskan perkembangan semasa bagi menentukan kawasan di selatan Thailand yang perlu dielakkan rakyat negara ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) dan Felo Research Institute for Indonesia, Thailand and Singapore (UUM-ITS), Prof. Madya Dr. Che Mohd. Aziz Yaacob berkata, mekanisme itu dapat membantu kerajaan menetapkan tahap risiko secara objektif sebelum mengeluarkan panduan perjalanan kepada rakyat.
Katanya, penilaian keselamatan perlu dibuat mengikut lokasi kerana konflik hanya tertumpu di Pattani, Narathiwat dan Yala manakala kebanyakan destinasi lain di Thailand tidak terlibat secara langsung.
“Penilaian risiko boleh mengambil kira kekerapan dan lokasi serangan, jenis sasaran, tahap kehadiran pasukan keselamatan, sekatan pergerakan, keadaan sempadan serta perkembangan politik dan keselamatan terkini.
“Penyampaian maklumat yang tepat, pantas dan berterusan juga penting supaya rakyat Malaysia mempunyai maklumat mencukupi sebelum melakukan perjalanan ke kawasan berisiko.
“Penggunaan platform digital, media sosial rasmi, aplikasi mudah alih dan sistem notifikasi segera boleh dipertimbangkan bagi membolehkan maklumat keselamatan disampaikan dengan lebih pantas dan meluas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Felo Penyelidik Utama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Fauzilah Salleh berkata, Malaysia perlu berwaspada terhadap kemungkinan individu yang terlibat dengan militan menggunakan laluan tidak rasmi bagi mengelakkan operasi keselamatan pihak berkuasa Thailand.
Katanya, tahap keselamatan sempadan tidak boleh diukur berdasarkan kewujudan serangan di Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keupayaan risikan, kawalan keluar masuk, jenayah rentas sempadan dan tindakan pantas agensi keselamatan.
“Walaupun serangan itu berlaku di wilayah Thailand dan tidak semestinya membawa ancaman langsung kepada Malaysia, kesannya boleh merebak ke kawasan sempadan negara.
“Risiko itu termasuk peningkatan pergerakan merentasi sempadan serta penyeludupan senjata atau bahan berbahaya yang memerlukan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa,” katanya.
Fauzilah berkata, insiden keganasan berskala besar itu juga berpotensi menjejaskan perdagangan, pekerjaan, pelancongan, perniagaan kecil dan pengangkutan di kawasan sempadan dalam jangka pendek.
“Kawasan sempadan Malaysia-Thailand bukan sekadar garis keselamatan tetapi ruang ekonomi dan sosial yang aktif serta mempunyai hubungan kekeluargaan antara penduduk kedua-dua negara.
“Kawalan perlu dipertingkatkan tanpa menyekat pergerakan secara berlebihan sehingga menjejaskan mata pencarian komuniti sempadan,” katanya. – UTUSAN
The post Wujudkan mekanisme nilai risiko perjalanan ke Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






