
Xiaomi 17 Max telah dilancarkan secara rasmi di China semalam. Model ini merupakan peranti keempat dalam siri Xiaomi 17 dan hadir dengan nama Max yang menunjukkan penawaran spesifikasi lebih baik.

Peranti ini dilengkapi dengan paparan AMOLED 6.9 inci beresolusi 2,608 × 1200 piksel serta menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,500 nits. Selain itu, peranti digabungkan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.1.
Dari segi kamera, Xiaomi 17 Max menggabungkan sistem kamera Leica dengan sensor utama 200MP Samsung HP9 yang disertakan OIS (ƒ/1.65) serta julat dinamik sehingga 13.5EV. Ia turut dilengkapi kamera telefoto 50MP 3x yang menyokong makro, ultra lebar 50MP (17mm), dan kamera swafoto sebesar 32MP.

Selain itu, peranti ini hadir dengan bateri 8,000 mAh 8,000mAh Xiaomi Jinshajiang Si/C yang mampu bertahan sehingga 1,600 kitaran pengecasan, iaitu lebih empat tahun penggunaan harian. Menurut Xiaomi, bateri ini boleh digunakan lebih dua hari untuk penggunaan biasa dan mengekalkan sehingga 80% kapasiti selepas 1,600 kitaran pengecasan.
Apabila perlu dicas semula, ia menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 50W manakala fungsi pengecasan berbalik berwayar 22.5W membolehkan peranti lain turut dicas. Tidak ketinggalan, Xiaomi 17 Max juga menawarkan perlindungan IP68 dan IP69 terhadap debu dan air menjadikannya lebih lasak dalam pelbagai keadaan.

Harga jualan di China bermula daripada CNY 4,799 (kira-kira RM2,796) untuk versi 12/256GB dan mencecah CNY 5,799 (kira-kira RM3,379) bagi versi 16/512GB. Buat masa ini, masih belum diketahui sama ada ia akan ditawarkan di Malaysia atau tidak.






