YAB Timbalan Perdana Menteri Gariskan Tiga Keutamaan Keselamatan Jalan Raya Sempena Road Safety Congress 2026

21 Oct 2026 • 11:38 AM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: YAB Timbalan Perdana Menteri Gariskan Tiga Keutamaan Keselamatan Jalan Raya Sempena Road Safety Congress 2026
Imej oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

KUALA LUMPUR – YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, menggariskan tiga keutamaan untuk memperkukuh keselamatan jalan raya negara, iaitu melindungi penunggang motosikal, mengintegrasikan data antara agensi dan membudayakan keselamatan jalan raya.

Ketiga-tiga keutamaan tersebut digariskan dalam ucapan perasmian Road Safety Congress (RSC) 2026 anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Kongres dua hari yang berlangsung pada 19 hingga 20 Oktober 2026 ini diadakan bersempena dengan Transport Expo Asia (TXA) 2026. Bertemakan “Safer & Smarter Mobility: Advancing Road Safety Towards Vision Zero”, RSC 2026 menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, agensi pelaksana, industri dan komuniti bagi memperkukuh tindakan keselamatan jalan raya berasaskan bukti.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR), YAB Timbalan Perdana Menteri menekankan perlunya tindakan bersepadu menerusi Pendekatan Sistem Selamat, yang melindungi pengguna apabila berlaku kesilapan manusia.

Bagi keselamatan penunggang motosikal, tumpuan diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur serta peluasan langkah keselamatan yang terbukti berkesan, khususnya di laluan berisiko tinggi.

Integrasi data keselamatan jalan raya antara agensi pula penting untuk mengenal pasti risiko lebih awal, merancang intervensi yang lebih tepat dan menyelaraskan tindakan pencegahan.

Pembentukan budaya keselamatan jalan raya memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, industri, sekolah dan komuniti. Majikan serta platform penghantaran turut bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja diberi keutamaan dalam pengurusan perjalanan dan operasi harian.

YAB Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan peranan MIROS dalam menterjemahkan bukti penyelidikan kepada penyelesaian praktikal.

“Nilai sebenar usaha MIROS terletak pada keupayaannya menterjemahkan bukti kepada penyelesaian praktikal yang menjadikan jalan raya lebih selamat dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Image from: YAB Timbalan Perdana Menteri Gariskan Tiga Keutamaan Keselamatan Jalan Raya Sempena Road Safety Congress 2026
Imej oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

Sementara itu, YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia, menekankan bahawa teknologi keselamatan perlu memberikan manfaat nyata kepada pengguna jalan raya.

“Teknologi berpotensi membantu melindungi penunggang, namun perlu dinilai dan diuji berdasarkan keadaan sebenar jalan raya kita,” katanya dalam ucapan alu-aluan.

Data PDRM bagi tahun 2025 merekodkan 6,537 kematian akibat nahas jalan raya. Daripada jumlah itu, 4,340 kematian atau 66.4 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

YAB Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap kos sosioekonomi nahas jalan raya yang dianggarkan sehingga RM30 bilion setahun. Pengiraan MIROS berasaskan konsep Value of Statistical Life (VOSL), yang menilai manfaat ekonomi pengurangan risiko kematian. VOSL tidak merujuk kepada kadar pampasan kepada mangsa.

Program pembukaan turut menampilkan demonstrasi sistem brek kecemasan automatik yang mengesan motosikal (AEB-MC), bagi memperlihatkan potensi teknologi dalam melindungi pengguna motosikal. Perkongsian pengalaman keluarga mangsa nahas pula memberi gambaran tentang kesan kehilangan nyawa terhadap keluarga.

Pengisian hari pertama seterusnya merangkumi dialog peringkat tinggi (high-level dialogue) mengenai keselamatan jalan raya sebagai keutamaan nasional serta forum kepimpinan ketua pegawai eksekutif mengenai kepimpinan korporat dan teknologi pintar. Sesi ini dijadualkan melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa, termasuk wakil United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) serta Asian Development Bank (ADB).

Penglibatan masyarakat turut diketengahkan melalui perkongsian inisiatif KITARA, keselamatan perjalanan ulang-alik dan MyGENTERA. Pertandingan Bicara Berirama Keselamatan Jalan Raya TABIKA KEMAS Peringkat Kebangsaan 2026 serta peringkat akhir Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2026 pula membuka ruang penyertaan daripada kanak-kanak prasekolah hingga mahasiswa.

RSC 2026 diadakan bersama Conference on Asia Road Safety (CARS) 2026, yang menyediakan platform pembentangan dan perbincangan penyelidikan bagi menyokong pembentukan dasar serta pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya berasaskan bukti.

Melalui penganjuran ini, MIROS menghubungkan hasil penyelidikan dengan keperluan pembuat dasar dan pelaksana. Usaha ini menyokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030, termasuk sasaran pengurangan 50 peratus kematian jalan raya menjelang 2030 berbanding tahun asas 2019, serta aspirasi Vision Zero ke arah sifar kematian dan kecederaan serius di jalan raya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved