
PARIS – Kualiti Lamine Yamal dan Kylian Mbappe mencetuskan perdebatan di peringkat global hingga mengakibatkan berlakunya percanggahan pendapat di kalangan penggiat dan pemerhati bola sepak dunia.
Dua legenda bola sepak dunia, Zlatan Ibrahimovic dan Thierry Henry juga gagal menemui kata sepakat mengenai calon paling tepat untuk menerima Anugerah Ballon d’Or kali ini.
Ketika Ibrahimovic lebih condong kepada Lamine Yamal, Henry berpendapat sebaliknya, malah langsung tidak menyenaraikan bintang muda Sepanyol itu dalam kelompok dua teratas walaupun impaknya berjaya memacu La Roja bergelar juara dunia.
Sentuhan Mbappe terbukti di pentas Liga Juara-Juara, La Liga dan Piala Dunia, malah Henry merasakan kegagalan bintang Perancis itu memenangi kejuaraan musim ini bukan ukuran sebenar yang harus diambil kira.
Henry menjadikan sejarah lampau sebagai gambaran sebenar apabila pernah ada pemain yang tidak memenangi kejuaraan, tetapi dipilih sebagai penerima Anugerah Ballon d’Or.
“Terdapat ramai pemain yang boleh menjadi calon kerana mereka bukannya calon untuk Mickey Mouse,” jelas Henry yang turut memilih Michael Olise sebagai calon pilihan keduanya.
Ibrahimovic pula menjadikan rekod jaringan Yamal bersama Barcelona dan Sepanyol sepanjang 2025/26 sebagai asas untuk membuktikan bintang 19 tahun itu layak untuk menerima pengiktirafan tertinggi.
Tahun lalu, Yamal berada di tempat kedua dalam senarai pemenang Ballon d’Or yang ketika itu dimenangi oleh seorang lagi bintang dari Perancis, Ousmane Dembele. – AGENSI
The post Yamal, Mbappe cetus perdebatan appeared first on Kosmo Online.





