Yasin Sulaiman dibenar pulang selepas lebih empat tahun di Hospital Bahagia

LocalEntertainment
2 Sep 2026 • 7:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Yasin Sulaiman dibenar pulang selepas lebih empat tahun di Hospital Bahagia

KUALA LUMPUR: Selepas lebih empat tahun menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman, akhirnya dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Perkembangan menggembirakan itu dikongsikan sahabatnya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi, menerusi hantaran di laman sosial Threads, hari ini.

Menurut Akbar, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman dipercayai sedang dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.

“Ya Allah, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa Allah SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya.

Dalam hantaran sama, Akbar turut memaklumkan bahawa beliau sempat menghubungi Yasin ketika penyanyi itu sedang dalam perjalanan pulang dan dipercayai berada berhampiran Tapah.

“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu ‘update’ terbaru saya bersama beliau nanti. Insya-Allah. Kami sangat gembira,” katanya.

Pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan Yasin.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

The post Yasin Sulaiman dibenar pulang selepas lebih empat tahun di Hospital Bahagia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved