amree30/07/2026 - 16:44 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Fima Corporation Berhad (FimaCorp) mencatatkan kemerosotan kira-kira 29.2% keuntungan bersih (PAT) kepada RM22.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding RM31.77 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, disebabkan faktor pengurangan sumbangan daripada operasi perladangan di Indonesia.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia menambah, penyusutan pendapatan kejuruteraan awam yang berpunca daripada faktor pemasaan dan penyiapan projek tertentu dalam bahagian hartanah.
"Bahagian perladangan merekodkan hasil sebanyak RM131.55 juta, turun 8.9% berbanding RM144.33 juta pada FY25 didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah," jelas FimaCorp lagi.
Jelasnya, harga purata direalisasikan komoditi berkenaan didapati jatuh kepada sebanyak RM3,516 setiap tan metrik berbanding kira-kira RM3,914 tan metrik pada tahun kewangan yang sebelumnya.
Selain itu, anak syarikatnya, PT Nunukan Jaya Lestari (PTNJL) di Indonesia menghadapi pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih rendah, susut 15.% akibat profil usia pokok sawit semakin tua.

Keadaan cuaca tidak menentu termasuk kemarau panjang diikuti hujan lebat turut menganggu tuaian, di samping penyusutan kadar rupiah berbanding ringgit yang menjejaskan lagi prestasi FimaCorp.
"Bagi segmen bukan teras, hasil pengurusan hartanah menjunam 53.2% kepada RM7.49 juta berbanding RM16.00 juta sebelumnya, kerana penurunan hasil kejuruteraan selepas penyiapan projek," katanya.
Di sebalik cabaran itu, bahagian pembuatan menunjukkan prestasi positif dengan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) lapan kali ganda kepada RM8.21 juta berbanding hanya RM0.90 juta pada FY25.
Kata FimaCorp, peningkatan margin untung kasar kepada 49.6% berbanding 16.5% tahun lalu, dijana oleh campuran pelbagai produk yang lebih baik dan pengurusan kos operasi yang lebih berdisiplin.
Selain itu, syarikat berjaya memperoleh kontrak percetakan dokumen sulit daripada Kementerian Pendidikan bernilai RM197.09 juta untuk tempoh lima tahun selepas tarikh tutup tahun kewangan.
"Lembaga Pengarah mengumumkan jumlah dividen 12.5 sen sesaham bagi FY26, meliputi dividen interim pertama (5.0 sen) dan dividen interim kedua (7.5 sen) yang dibayar pada 30 Julai 2026," katanya.
Secara keseluruhan, FimaCorp kekal mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dengan jumlah aset sebanyak RM675.62 juta dan nisbah penggearan yang bertambah baik kepada 0.21 kali. - DagangNews.com






