hamden02/10/2026 - 14:34 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt - Yinson Renewables, menerusi anak syarikatnya Mt Cass Wind Farm Limited, berjaya melengkapkan proses pembiayaan atau penutupan kewangan bagi projek Mt Cass Wind Farm berkapasiti 94.6 megawatt (MW) di New Zealand.
Projek tenaga angin yang terletak di Pulau Selatan, New Zealand itu memulakan pembinaan pada awal tahun ini dan dijangka mencapai operasi komersial pada 2028.
Dalam kenyataan, Yinson Renewables berkata, pembiayaan kira-kira NZD290 juta (kira-kira RM760 juta) itu diterajui MUFG Bank Ltd., bersama HSBC dan Bank of New Zealand, yang masing-masing bertindak sebagai Pengatur Utama Mandatori dan Pengurus Buku.
MUFG turut bertindak sebagai Penyelaras Penstrukturan Tunggal, Ejen Kemudahan dan Pemegang Amanah Sekuriti, manakala HSBC bertindak sebagai Bank Akaun.
Pakej pembiayaan berkenaan merangkumi kemudahan pinjaman pembinaan dan pinjaman berjangka senior, kemudahan rizab perkhidmatan hutang serta kemudahan instrumen.
Yinson Renewables berkata penutupan kewangan itu merupakan pencapaian penting bagi syarikat serta antara pembiayaan projek tenaga angin terbesar yang diselesaikan di New Zealand dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, sokongan institusi kewangan berkenaan mencerminkan kekuatan projek serta keupayaan Yinson Renewables untuk membangunkan, membiayai dan mengendalikan aset tenaga boleh diperbaharui di pasaran terasnya.
Yinson Renewables merupakan salah satu perniagaan di bawah Yinson Holdings Berhad, sebuah syarikat infrastruktur tenaga global yang mempunyai operasi dalam sektor tenaga luar pesisir menerusi Yinson Production, tenaga boleh diperbaharui menerusi Yinson Renewables, serta teknologi hijau menerusi Yinson GreenTech.
Mt Cass Wind Farm akan membekalkan tenaga elektrik bersih yang mencukupi untuk menampung keperluan kira-kira 40,000 rumah, selain menyumbang kepada matlamat penyahkarbonan jangka panjang New Zealand.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Renewables, Vegard Urnes berkata Mt Cass merupakan projek penting bagi syarikat itu kerana ia menjadi projek tenaga angin pertama Yinson Renewables dan projek pertama di New Zealand yang mencapai penutupan kewangan.
“Mt Cass merupakan projek penting kerana ia memperluas platform tenaga boleh diperbaharui kami serta menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan berterusan kami di pasaran ini.
“Pencapaian ini merupakan hasil daripada usaha pembangunan yang berterusan selama bertahun-tahun, dan kami tidak sabar untuk merealisasikan projek yang akan menyumbang secara bermakna kepada peralihan tenaga New Zealand,” katanya.
Yinson Renewables merupakan salah satu perniagaan di bawah Yinson Holdings Berhad, sebuah syarikat infrastruktur tenaga global yang mempunyai operasi dalam sektor tenaga luar pesisir menerusi Yinson Production, tenaga boleh diperbaharui menerusi Yinson Renewables, serta teknologi hijau menerusi Yinson GreenTech. - DagangNews.com






