sarah16/11/2026 - 10:39 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Johor Plantations Group Bhd (JPG) dijangka mengekalkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sekitar satu juta tan pada 2027 meskipun berdepan risiko cuaca El Nino dan pengurangan kawasan penuaian susulan program penanaman semula ladang yang dipercepatkan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) berkata, peningkatan hasil daripada ladang yang memasuki peringkat matang dan lebih produktif dijangka membantu mengimbangi kesan pengurangan kawasan penuaian serta keadaan cuaca kering yang menjejaskan pengeluaran kumpulan.
Menurut firma penyelidikan itu, pengeluaran BTS JPG menyusut 11.8% kepada 712,800 tan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding tahun sebelumnya, berikutan pengurangan kawasan penuaian dan hasil tanaman yang lebih rendah akibat cuaca kering.
"Pengurusan menjangkakan pengeluaran BTS pada suku keempat 2026 kekal hampir sama seperti suku sebelumnya, menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhan tahun sekitar satu juta tan," menurut HLIB Research dalam nota penyelidikannya.
Kos pengeluaran dijangka meningkat 5% pada 2027
Bagaimanapun, HLIB Research berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat 5% pada 2027, didorong kenaikan harga baja serta pelarasan gaji minimum yang dijangka berkuat kuasa pada Jun tahun depan.
Bagi 2026, JPG mengekalkan anggaran kos pengeluaran MSM sekitar RM2,500 satu tan berikutan peningkatan perbelanjaan penuaian, pengangkutan, penyelenggaraan dan penjagaan ladang, sekali gus memberi tekanan terhadap margin keuntungan.
Kompleks sawit bersepadu dijangka mula beroperasi pada 2027
Sementara itu, JPG dijangka memulakan operasi komersial kompleks minyak sawit mampan bersepadu (iSPOC) pada separuh pertama 2027, yang bakal membolehkan kumpulan berkembang menjadi pengeluar sawit bersepadu sepenuhnya serta membuka sumber pendapatan baharu.
Dari segi prestasi kewangan, kumpulan mencatat keuntungan teras RM87.6 juta bagi suku ketiga 2026, menjadikan keuntungan teras sembilan bulan pertama sebanyak RM176.9 juta, bersamaan 70.2% daripada unjuran tahunan HLIB Research. Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham JPG dengan harga sasaran RM1.84 sesaham.- DagangNews.com






