UEM Sunrise berpotensi senarai aset perindustrian menerusi REIT di Bursa Malaysia - RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 9:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise berpotensi senarai aset perindustrian menerusi REIT di Bursa Malaysia - RHB Research Image from: UEM Sunrise berpotensi senarai aset perindustrian menerusi REIT di Bursa Malaysia - RHB Research sarah13/11/2026 - 09:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov - UEM Sunrise Berhad berpotensi membuka peluang baharu untuk menjana pendapatan menerusi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) atau pelupusan aset perindustrian secara pakej dalam jangka panjang, susulan pengembangan kumpulan itu ke sektor pembangunan taman perindustrian di Johor.

 

RHB Research berkata, kerjasama strategik UEM Sunrise dengan AME Elite Consortium Berhad bagi membangunkan taman perindustrian bernilai RM4 bilion di Gerbang Nusajaya berpotensi membolehkan kumpulan mengumpulkan portfolio aset perindustrian yang boleh dimanfaatkan melalui penjualan atau penyenaraian REIT pada masa hadapan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kerjasama usaha sama 50:50 berkenaan dijangka menarik penyertaan lebih banyak syarikat multinasional, memandangkan AME mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan taman perindustrian serta rangkaian pelanggan korporat yang kukuh.

 

Baki 350 ekar tanah buka peluang pembangunan

RHB Research berkata, UEM Sunrise masih mempunyai kira-kira 350 ekar tanah perindustrian di Gerbang Nusajaya selepas mengambil kira kawasan seluas 402 ekar yang diperuntukkan bagi pembangunan usaha sama dengan AME.

 

Firma itu tidak menolak kemungkinan UEM Sunrise menukar kegunaan lebih banyak tanah kepada pembangunan perindustrian bagi memenuhi permintaan yang kukuh, sekali gus berpotensi meningkatkan nilai pegangan tanah kumpulan di kawasan berkenaan.

 

Pembangunan taman perindustrian bersama AME dijangka dilancarkan pada penghujung 2027, dengan penyertaan syarikat multinasional berpotensi meningkatkan daya tarikan Gerbang Nusajaya sebagai hab perindustrian dan pelaburan.

 

Tempahan MAIA Mont’ Kiara lepasi 80%

Sementara itu, projek kediaman mewah MAIA Mont’ Kiara bernilai RM1.2 bilion milik UEM Sunrise mencatat kadar tempahan melebihi 80%, meningkat berbanding kadar jualan 60% yang dilaporkan sebelum ini, sekali gus memperlihatkan sambutan berterusan terhadap pembangunan berkenaan.

 

RHB Research berkata, projek yang menawarkan 495 unit kediaman dengan keluasan antara 1,485 hingga 2,982 kaki persegi itu mendapat permintaan tinggi, khususnya bagi unit bersaiz besar, dengan harga jualan purata selepas diskaun sekitar RM950 hingga RM1,000 sekaki persegi.

 

Firma itu menjangkakan sebahagian jualan MAIA direkodkan pada suku keempat 2026, manakala sumbangan lebih besar akan diterima pada separuh pertama 2027. Susulan sambutan kukuh itu, jualan hartanah UEM Sunrise bagi 2027 dijangka meningkat antara 15% hingga 20% berbanding sasaran RM1.3 bilion bagi 2026.

 

Prospek keuntungan kekal positif

Dari segi prestasi kewangan, RHB Research menjangkakan keuntungan UEM Sunrise pada separuh kedua 2026 kekal kukuh, disokong transaksi tanah di Jalan Ampang, jualan MAIA Mont’ Kiara serta pengiktirafan awal keuntungan pelupusan tanah berkaitan usaha sama AME.

 

Firma itu mengunjurkan keuntungan bersih berulang UEM Sunrise sebanyak RM114 juta bagi tahun kewangan 2026, sebelum meningkat kepada RM123 juta pada 2027 dan RM139 juta pada 2028, manakala jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM2.94 bilion setakat Jun 2026.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham UEM Sunrise dengan harga sasaran 77 sen, mencerminkan potensi kenaikan 68% berbanding harga rujukan 46 sen, mengambil kira prospek pembangunan perindustrian Gerbang Nusajaya serta pertumbuhan jualan hartanah kumpulan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved