Zahid luah syukur! UMNO buka tabung bantu ringankan beban Najib bayar denda RM50 juta

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 1:50 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim susulan perkenan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Keputusan cukup bermakna

Menerusi kenyataan media, Zahid berkata keputusan tersebut amat bermakna buat Najib, keluarga serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini terus menaruh harapan dan menitipkan doa.

“Dengan penuh takzim, saya bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,”

Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda serta menyifatkan limpah ihsan tersebut membawa kelegaan besar kepada Najib dan keluarganya.

“UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Dato’ Sri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah,”

Lancar kutipan kutip sumbangan

Menurut beliau, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkenaan melalui saluran yang ditetapkan dengan penuh tertib dan rendah hati, selain terus menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Zahid menyeru seluruh ahli UMNO supaya menyambut perkembangan tersebut dengan rasa syukur serta menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

UMNO turut mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.

“UMNO menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela melalui satu inisiatif yang akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.”
Zahid pada masa sama mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong terus dikurniakan kesejahteraan serta keamanan dan keharmonian negara sentiasa dipelihara.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara.
Daulat Tuanku,”
Image from: Zahid luah syukur! UMNO buka tabung bantu ringankan beban Najib bayar denda RM50 juta

Foto: Bernama

Sumber: Facebook Zahid Hamidi

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved