Zahid perlu sedar beliau TPM, bukan Ketua Pembangkang – AMK

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 10:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zahid perlu sedar beliau TPM, bukan Ketua Pembangkang – AMK

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu sedar bahawa jawatan digalasnya adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukan Ketua Pembangkang.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 semalam, seolah-olah beliau berada di luar kerajaan.

Menurutnya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu perlu menyatakan bantahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan penyalarasan subsidi petrol RON95.

“Beliau bukan Ketua Pembangkang tetapi adalah Timbalan Perdana Menteri. Keputusan mengenai subsidi petrol adalah keputusan kerajaan. Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan pula jelas bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, itulah prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet.

“Kalau tidak bersetuju, bantah dan lawan dalam Kabinet. Namun apabila keputusan sudah dibuat, seorang Timbalan Perdana Menteri tidak boleh naik ke pentas dan bercakap seolah-olah beliau sekadar penonton,” katanya menerusi kenyataan media.

Semalam, Ahmad Zahid meminjam populariti skrip suara latar media sosial yang tular ‘guru, hentikan guru’ untuk menyampaikan sindiran yang jelas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengkritik tindakan kerajaan mengenai program subsidi petrol BUDI95 yang berubah-ubah dan menyifatkan perubahan dasar ekonomi sedemikian hanya menimbulkan ketidakpastian dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Danish berkata, Ahmad Zahid perlu pikul tanggungjawabnya dan tidak ‘cuci tangan’ apabila keputusan kerajaan sukar untuk diterima penyokongnya.

“Zahid kata guru perlu belajar mendengar, saya pula cadangkan Zahid belajar satu perkara daripada guru. Kalau buat kerja berkumpulan, semua ahli kumpulan kena bertanggungjawab. Jangan bila markah rendah, salahkan ketua kumpulan seorang.

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan sekadar berkongsi kuasa tetapi datang bersama tanggungjawab. Jika beliau sendiri tidak mampu mempertahankan keputusan kerajaan yang beliau anggotai, pilihannya mudah.Pertahankan tanggungjawab kolektif atau letak jawatan,” katanya. – UTUSAN

The post Zahid perlu sedar beliau TPM, bukan Ketua Pembangkang – AMK appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved