Zaid dakwa tuntutan pengasas Network School cerminkan sikap angkuh

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zaid dakwa tuntutan pengasas Network School cerminkan sikap angkuh
Zaid Ibrahim

SHAH ALAM – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa tindakan pengasas Network School di Forest City yang menuntut jaminan daripada kerajaan mencerminkan sikap angkuh.

Beliau berkata, pengasas berkenaan turut mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sebelum meneruskan pelaburan baharu bernilai berbilion dolar di Malaysia.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat, Zaid berkata, tindakan sedemikian seolah-olah menggambarkan pengasas berkenaan memiliki kekayaan setanding Bill Gates.

"Pengasas terbabit juga tidak menyentuh langsung mengenai perkara yang menjadi subjek siasatan pihak berkuasa, iaitu berhubung kehadiran individu yang mempunyai kerakyatan Yahudi dalam program berkenaan.

"Pegawai tertinggi di Putrajaya wajar dipuji kerana berwaspada. Mereka mahu memastikan wang Zionis tidak mengalir masuk ke negara ini," katanya.

Terdahulu, pengasas Network School, Balaji Srinivasan mengumumkan pihaknya menangguhkan rancangan pelaburan baharu di Malaysia selepas beberapa peserta program berkenaan disiasat pihak berkuasa susulan dakwaan membabitkan kehadiran individu yang mempunyai kerakyatan Israel dan Yahudi.

Beliau turut memohon jaminan daripada kerajaan Malaysia, termasuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mempertimbangkan semula pelaburan yang dirancang.

Dalam pada itu, Zaid turut mendakwa wang Zionis kini sedang mencari lokasi baharu untuk pelaburan di seluruh dunia selepas "tempat perlindungan mereka di Asia Barat semakin terdedah".

Beliau mendakwa Argentina, sebagai contoh, memperuntukkan kira-kira 100,000 hektar tanah bagi membolehkan golongan Zionis melabur dan menetap di negara itu.

Selain itu, beliau mendakwa apabila terdapat negara yang enggan memenuhi kepentingan mereka berkaitan unsur nadir bumi atau tidak mahu menerima pelaburan pusat data mereka, Malaysia pula mengalu-alukan pelaburan sedemikian.

Beliau turut mendakwa kumpulan berkenaan kini sudah mempunyai kepentingan dalam lapangan terbang negara.

"Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam menarik pelaburan berskala besar kerana bimbang negara akhirnya menjadi negara satelit Zionis seperti yang didakwanya berlaku di Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

"Kelihatan mewah dan kaya dari luar, tetapi menjadi boneka yang miskin di dalam," tambahnya.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved