Network School Tangguh Pelaburan Di Malaysia, Pengasas Mohon Jaminan Kerajaan

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2026 • 11:46 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pengasas Network School (NS), komuniti kediaman persendirian di Forest City, Johor yang menjadi perhatian susulan dakwaan terdapat warga Israel dalam kalangan pesertanya, mengumumkan pihaknya menangguhkan sementara semua rancangan pelaburan baharu di Malaysia, lapor Free Malaysia Today.

Menerusi hantaran di platform X, pengasasnya, Balaji Srinivasan berkata, Network School telah melaburkan lebih RM100 juta bagi membangunkan kampusnya di Forest City, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada puluhan rakyat Malaysia merangkumi jawatan pengurusan dan kakitangan sokongan.

Image from: Network School Tangguh Pelaburan Di Malaysia, Pengasas Mohon Jaminan Kerajaan

Beliau turut mendakwa kehadiran Network School membantu menghidupkan semula projek Forest City yang bernilai berbilion ringgit, sekali gus meningkatkan nilai hartanah di kawasan berkenaan sebanyak jutaan ringgit.

Menurutnya, sebelum isu tersebut tercetus, pihaknya hampir melancarkan projek pengembangan bernilai RM500 juta.

“Buat masa ini, semua pelaburan lanjut yang kami rancang di Malaysia ditangguhkan sehingga kami menerima jaminan mencukupi bahawa perkara seperti ini tidak akan berulang.
“Begitu juga rancangan pelaburan ramai rakan kami, termasuk eksekutif dan pelabur firma teknologi global yang kami bawa ke Forest City,” katanya.

Srinivasan berkata, projek yang berpotensi menjadi kisah kejayaan bernilai berbilion ringgit kini berdepan risiko akibat penyebaran berita palsu oleh akaun-akaun tanpa nama.

Beliau turut menyatakan Malaysia kini berada di persimpangan untuk menentukan hala tuju pelaburan teknologi global.

Katanya, sekiranya negara masih berhasrat menarik pelaburan teknologi antarabangsa dan muncul sebagai antara 20 hab teknologi utama dunia, Network School bersedia berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi memeterai satu memorandum persefahaman (MoU).

Menurut beliau, kerjasama itu boleh dicontohi daripada perjanjian yang baru dimeterai antara Solana Foundation dan kerajaan Kazakhstan.

Srinivasan menegaskan Network School bersedia memberikan komitmen secara terbuka untuk mematuhi semua undang-undang Malaysia serta menghormati kedaulatan negara.

“Sebaliknya, sekiranya anda tidak mahukan pelaburan kami atau pelaburan rakan kami daripada dana bernilai berbilion dolar dan syarikat bernilai trilion dolar, kami tentunya akan menghormati keputusan itu dan mengalihkan modal kami ke negara lain,” ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Imigresen memaklumkan pihaknya masih belum menemui sebarang bukti yang mengaitkan kehadiran warga Israel di Network School, Forest City.

Image from: Network School Tangguh Pelaburan Di Malaysia, Pengasas Mohon Jaminan Kerajaan

Hasil pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara yang menyertai komuniti itu mendapati kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan dan imigresen yang sah.

Network School ditubuhkan pada 2024 oleh Srinivasan, bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coinbase yang kini merupakan seorang pelabur dan usahawan teknologi.

Sumber: Free Malaysia Today

The post Network School Tangguh Pelaburan Di Malaysia, Pengasas Mohon Jaminan Kerajaan appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved