
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu kontroversi melibatkan komuniti Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor Bahru masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Apatah lagi, pengasas Network School, Balaji Srinivasan mengumumkan telah menangguhkan rancangan pelaburan baharu ke Malaysia selain turut memohon untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zaid Dakwa Tuntutan Pengasas Network School Cerminkan Sikap Angkuh, Puji Sikap Hati-Hati Pegawai Di Putrajaya
Terbaharu, bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook mendakwa tindakan pengasas Network School yang menuntut jaminan kerajaan mencerminkan sikap angkuh.
Apatah lagi, pengasas terbabit juga mahu mengadakan pertemuan bersama Anwar sebelum meneruskan pelaburan baharu yang bernilai berbilion dolar di Malaysia.
“Lelaki daripada Network School di Forest City pada saya kedengaran sangat sombong. Dia berkata, dia mahukan jaminan dan pertemuan dengan PM atau dia akan menarik balik keseluruhan pelaburan berbilion dolar,” katanya.
Jelas Zaid, tindakan tersebut seolah-olah menggambarkan pengasas komuniti itu mempunyai kekayaan setanding Bill Gates.
“Pengasas terbabit juga tidak menyentuh langsung mengenai perkara yang menjadi subjek siasatan pihak berkuasa, iaitu berhubung kehadiran individu yang mempunyai kerakyatan Yahudi (Israel) dalam program berkenaan.
“Pegawai tertinggi di Putrajaya wajar dipuji kerana berwaspada. Mereka mahu memastikan wang Zionis tidak mengalir masuk ke negara ini,” jelasnya.
Zaid Dakwa Wang Zionis Turut Cari ‘Lokasi’ Baharu
Dalam hantaran itu juga Zaid mendakwa, wang zionis kini sedang mencari tempat baharu di seluruh dunia untuk pelaburan setelah ‘tempat perlindungan mereka di Asia Barat terdedah’.
Dakwanya, Argentina sebagai contoh memperuntukkan kira-kira 100,000 hektar tanah untuk Zionis melabur serta menetap di negara berkenaan.
Malah Zaid memberi amaran yang Malaysia perlu berhati-hati dalam membawa pelabur kerana jika tidak berjaga-jaga negara ini boleh menjadi negara satelit Zionis.
“Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam menarik pelaburan berskala besar kerana bimbang negara akhirnya menjadi negara satelit Zionis seperti yang didakwanya berlaku di Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.
“Kelihatan mewah dan kaya dari luar, tetapi menjadi boneka yang miskin di dalam,” dakwanya lagi.
Terdahulu, Balaji membuat pengumuman menangguhkan rancangan pelaburan baharu Network School susulan kontroversi yang melanda komuniti itu selepas kecoh di media sosial dakwaan syarikat berkenaan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Balaji turut menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas serta memaklumkan beberapa pelabur lain turut membuat penangguhan ekoran isu berkenaan.
Pada masa sama, Balaji turut memohon satu pertemuan diadakan bersama Anwar bagi membincangkan kemungkinan permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Network School dan kerajaan Malaysia.
Sebagai info, pengasas Network School bukanlah nama asing dalam dunia teknologi. Dia merupakan seorang penulis buku dan bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coinbase, salah satu syarikat mata wang kripto terbesar di dunia.
Malah, pelabur teknologi itu turut terkenal dengan idea Network State, sebuah fahaman yang didakwa cuba diterapkan di Network School.
Baca Artikel Berkaitan: Pengasas Network School Tangguh Rancangan Pelaburan Baharu Ke Malaysia, Dedah Sudah Labur Lebih RM100 Juta
Baca Artikel Berkaitan: “Nilai Tindakan, Bukan Pasportnya” – Usahawan AS Pertahan Komuniti Network School Di Forest City
Baca Artikel Berkaitan: KPT Sahkan Network School Di Forest City Bukan IPTS Berdaftar, Tiada Kerjasama Dengan UA






