Zaliha kecewa pembangkang boikot sesi penerangan RCI Tabung Haji

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 1:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Zaliha kecewa pembangkang boikot sesi penerangan RCI Tabung Haji

Dr Zaliha Mustafa kecam tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat sebelum sesi penerangan RCI TH, kata ia bukti mereka tidak serius bahas isu itu.

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai daripada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini menunjukkan mereka tidak serius dalam isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan sebagai tanda protes sebelum sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengenai laporan itu amat mengecewakan.

“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam. Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar.

“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata sekiranya terdapat dapatan RCI yang tidak dipersetujui atau keputusan kerajaan yang mahu dipersoalkan, pembangkang sepatutnya membangkitkannya di Dewan berlandaskan fakta dan hujah, termasuk jika mahu mempertahankan mana-mana pihak.

“Tetapi jangan di luar Dewan bercakap soal ketelusan, soal amanah, soal Islam dan kepentingan umat, kemudian apabila sampai masanya untuk berdepan dengan fakta di dalam Dewan, mereka memilih untuk keluar beramai-ramai.

“Lebih mengecewakan, tindakan ini dibuat ketika kita sedang membahaskan sebuah laporan yang menyentuh soal pengurusan dan amanah wang pendeposit Tabung Haji. Ini bukan isu kecil dan bukan ruang untuk melakukan political stunt,” katanya.

Naib Presiden PKR itu berkata sekiranya pembangkang benar-benar serius mempertahankan kepentingan umat Islam, mereka sepatutnya kekal berada di Dewan untuk meneliti laporan berkenaan dan membahaskan setiap perkara yang dipertikaikan.

“Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?,” katanya.

Terdahulu, blok pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meneruskan sesi itu tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum itu mencadangkan supaya mesyuarat khas berkenaan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing sedang menerima rawatan akibat masalah kesihatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved