'Zara pernah mengadu dibuli di asrama' - Ibu

7 Oct 2026 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Zara pernah mengadu dibuli di asrama' - Ibu
Noraidah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina pernah mengadu mengenai kejadian buli, gangguan dan layanan tidak menyenangkan daripada pelajar lain ketika tinggal di asrama.

KOTA KINABALU - Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Rabu bahawa anak tunggalnya itu pernah mengadu mengenai kejadian buli, gangguan dan layanan tidak menyenangkan daripada pelajar lain ketika tinggal di asrama.

Saksi ke-82 prosiding inkues itu, Noraidah Lamat, 46, berkata, Zara Qairina sering berkongsi perkara berkenaan ketika menghubunginya atau sewaktu pulang ke rumah.

Menurutnya, Zara Qairina pernah memaklumkan terdapat pelajar senior yang tidak menyukainya, selain mendakwa pernah digelar dan dijerit di dewan makan.

Noraidah berkata, berdasarkan cerita anaknya, situasi itu dipercayai berpunca daripada rasa cemburu segelintir pelajar selepas terdapat pelajar lelaki senior yang meminatinya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa pada Jun 2025, seorang pelajar senior Tingkatan Empat pernah mengumpulkan beberapa pelajar di musolla untuk memberi teguran tanpa kehadiran warden.

Dalam keterangannya, Noraidah turut mendakwa seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) pernah memintanya supaya tidak menularkan kejadian yang menimpa Zara Qairina.

Katanya, guru berkenaan memaklumkan pihak atasan melarang pihak sekolah memberikan maklumat berhubung kematian Zara Qairina kerana kes masih dalam siasatan polis.

Noraidah juga mendakwa pernah dinasihatkan oleh pengetua sekolah supaya tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Selain itu, beliau berkata, pihak sekolah tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai siasatan dalaman berhubung kejadian pada 15 Julai 2025 dan hanya mengetahui perkara itu menerusi prosiding inkues.

Menurutnya, beliau turut menyerahkan surat rasmi kepada pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat awal mengenai kejadian yang menimpa anaknya, namun tidak menerima sebarang jawapan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau menggunakan media sosial bagi mendapatkan maklumat mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada Zara Qairina.

Noraidah turut menceritakan detik menerima panggilan telefon pada kira-kira jam 4.37 pagi, 16 Julai 2025 daripada seorang ustaz yang memaklumkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan "mengampai" di lantai asrama sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu.

Beliau berkata, sebaik tiba di hospital kira-kira jam 9 pagi, beliau melihat Zara Qairina berada di zon merah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada kepala dan kaki.

Menurutnya, seorang guru kaunseling dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kemudian memaklumkan bahawa Zara Qairina ditidurkan, bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan mengalami kerosakan otak yang teruk selepas otaknya tidak menerima oksigen selama lebih dua jam.

Sepanjang anaknya dirawat, Noraidah berkata, beliau dimaklumkan bahawa Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama, semua pelajar telah tidur pada jam 11 malam dan tiada saksi mata yang melihat kejadian tersebut.

Bagaimanapun, katanya, guru-guru yang ditemuinya tidak dapat memberikan penjelasan lanjut berhubung apa yang berlaku kepada Zara Qairina.

Zara Qairina kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 kira-kira jam 1.07 petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved