Zetrix AI kaitkan kesilapan pengiraan sebagai punca kelewatan bayaran dividen

Business & Finance
25 Sep 2026 • 9:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI kaitkan kesilapan pengiraan sebagai punca kelewatan bayaran dividen Image from: Zetrix AI kaitkan kesilapan pengiraan sebagai punca kelewatan bayaran dividen johardy25/09/2026 - 09:05 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept - Zetrix AI Berhad berkata kesilapan dalam pengiraan dana yang diperlukan untuk membayar dividen menjadi punca penangguhan kali kedua pembayaran itu, ketika pertikaian mahkamah menyebabkan bayaran kepada akaun penama tertentu masih ditahan.

 

Syarikat itu kini merancang membayar dividen tunai sebanyak 2.89 sen sesaham pada 28 September. Bayaran tersebut pada asalnya dijadualkan pada 18 Sept sebelum ditangguhkan ke 23 Sept.

 

Dalam maklum balas kepada pertanyaan Bursa Malaysia, Zetrix berkata jumlah yang perlu dimasukkan ke dalam akaun khas pembayaran dividen telah tersilap kira selepas permohonan pada peringkat awal untuk memperluas senarai akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang terlibat dalam pertikaian itu.

 

Pengiraan tersebut perlu dibuat semula selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan dua penama, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd dan CGS International Futures Malaysia Sdn Bhd, mencelah dalam prosiding berkenaan, menurut syarikat itu.

 

Zetrix tidak mendedahkan identiti pemegang saham yang bayaran dividennya ditahan. Syarikat itu berkata ia bukan pihak dalam kes berkenaan dan tidak mahu menjejaskan prosiding dengan menamakan mereka.

 

Ketika ditanya Bursa sama ada bayaran kepada semua pemegang saham yang tidak terlibat pasti dapat diselesaikan menjelang 28 Sept, Zetrix berkata lembaga pengarahnya akan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan bayaran dibuat pada tarikh tersebut.

 

Pertikaian mengenai pilihan menerima dividen

Pertikaian itu bermula selepas seorang pemegang saham utama memperoleh perintah injunksi sementara yang menghalang pembayaran dividen tunai kepada akaun CDS tertentu yang didakwanya dimiliki secara benefisial.

 

Pemegang saham berkenaan mendakwa penama gagal mematuhi arahannya untuk memilih menerima dividen tahun kewangan 2025 dalam bentuk saham, dan bukannya tunai, menerusi pelan pelaburan semula dividen Zetrix.

 

Dividen yang dikaitkan dengan akaun penama yang dipertikaikan akan terus ditahan sementara kes itu belum diselesaikan. Pendengaran kes dijadualkan pada 11 Nov. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved