Zetrix AI rugi RM4.6 bilion nilai pasaran, TS Wong kurangkan lagi 78% pegangan

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI rugi RM4.6 bilion nilai pasaran, TS Wong kurangkan lagi 78% pegangan Image from: Zetrix AI rugi RM4.6 bilion nilai pasaran, TS Wong kurangkan lagi 78% pegangan amree13/10/2026 - 09:20 TS Wong Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt – Zetrix AI Berhad terus berdepan tekanan apabila nilai pasarannya merosot kira-kira RM4.6 bilion sejak akhir Ogos 2026, susulan penjualan saham oleh Pengarah Urusannya, Wong Thean Soon atau lebih dikenali sebagai TS Wong, dengan pegangannya susut sebanyak 78%.

 

Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, beliau menjual kira-kira 142 juta saham yang dipegang secara langsung pada harga antara tujuh sen hingga 11.2 sen sesaham, dengan nilai keseluruhan transaksi mencecah jumlah RM11.6 juta.

 

Susulan penjualan berkenaan, jumlah pegangan saham beliau merosot kepada hanya 508.41 juta saham berbanding sebanyak 2.33 bilion saham sebelum penjualan bermula pada akhir Ogos 2026.

 

"Wong kini memegang kepentingan langsung sebanyak 3.091% dan kepentingan tidak langsung sebanyak 3.347%, sekali gus kekal sebagai satu-satunya pemegang saham substansial," jelas Zetrix AI.

 

Sebelum ini, Wong pernah memberitahu The Edge Weekly yang beliau mungkin mengambil tindakan undang-undang berhubung perkembangan yang menjejaskan harga saham syarikat, selain mendakwa kemungkinan wujud pakatan sulit dan manipulasi harga.

 

Di samping itu, beliau turut mendakwa langkah pelupusan saham berkenaan dilakukan akibat keadaan yang memaksanya, bukan dilaksanakan secara sukarela.

 

Zetrix_DagangNews2026

 

Sejak penjualan saham itu bermula pada akhir Ogos, Zetrix AI dilaporkan kehilangan kira-kira RM4.6 bilion atau 88% daripada nilai pasarannya, mencerminkan kejatuhan ketara nilai ekuiti syarikat dalam tempoh berkenaan.

 

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mengumumkan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff sebagai Pengarah Bebas berkuat kuasa 12 Oktober 2026, atas alasan komitmen peribadi.

 

Syarikat memaklumkan bahawa tiada perselisihan antara beliau dengan lembaga pengarah, selain tiada perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham berhubung peletakan jawatan itu.

 

Mohd Mokhtar, 69, yang merupakan bekas Pengarah Cawangan Khas Polis di ibu pejabat Bukit Aman, mula menyertai lembaga pengarah Zetrix AI pada 9 November 2020.

 

Peletakan jawatan itu berlaku kira-kira seminggu selepas kerajaan mengumumkan anak syarikat Zetrix AI, MyEG Sdn Bhd, digantung daripada peranannya sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan tunggakan berjumlah RM314 juta bagi tempoh Mei hingga September 2026.

 

Pada dagangan 12 Oktober 2026, saham Zetrix AI susut 11.76% kepada 7.5 sen sesaham, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM605.9 juta. Saham berkenaan juga merosot hampir 90% sejak awal tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved