
PETALING JAYA: Lee Zii Jia lebih sesuai kekal sebagai pemain profesional dan untuk memulihkan kembali kemerosotan prestasi, bekas bintang No. 2 dunia itu mungkin perlu menyertai kejohanan lebih rendah daripada Super 100.
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim berkata, tiada jalan pintas untuk Zii Jia pada ketika ini dan jika masih berhajat untuk menyelamatkan kariernya, kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa mungkin pilihan terbaik untuk pemain itu.
“Tengok macam (Kento) Momota dulu selepas menjalani hukuman penggantungan, dia main kejohanan-kejohanan kecil, lepas itu dia banyak muncul juara dan ranking dia naik kembali.
“Tak ada jalan pintas kalau nak berjaya, kena mula dari kosong. Main kejohanan kecil ni tak semestinya kena menang, tapi sekurang-kurangnya kalau dia main lima pertandingan, satu atau dua kena juaralah,” kata Hafiz kepada Utusan Malaysia.
Isu prestasi Zii Jia kembali menjadi sorotan selepas pemain yang kini menghuni ranking No. 58 dunia itu tewas kepada wakil Taiwan, Wu Zhe Ying 8-21, 21-13, 14-21 di peringkat 32 terbaik pada Terbuka Vietnam yang berstatus Super 100, Rabu lalu.
Ekoran kekalahan itu, pelbagai usul, malah, ada yang mencadangkan agar Zii Jia kembali ke pangkuan BAM dan dalam masa sama, jurulatihnya, Liew Daren turut dikritik oleh peminat.
Menurut Hafiz, jika menyertai kejohanan berstatus Super 100, Zii Jia perlu memastikan sekurang-kurangnya dia marah hingga ke separuh akhir.
“Kalau kejohanan berstandard Super 100 sepatutnya tak ada masalah untuk dia masuk separuh akhir sekurang-kurangnya. Tapi sebenarnya ada bagus juga kalau dia turun ke kejohanan kecil dulu untuk rasa balik jadi juara,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai cadangan agar Zii Jia pulang ke pangkuan BAM, Hafiz berkata, pemain itu tidak perlu berbuat demikian kerana Zii Jia lebih sesuai kekal dengan status profesional.
“Bagi saya tak perlu pun balik ke BAM, sebab tak ada sesiapa pun boleh kawal dia, lebih baik kekal sebagai pemain profesional yang penting kena berlatih dan mempamerkan prestasi yang baik,” katanya.
Mengulas mengenai Daren yang dikritik peminat, Hafizh memberitahu, tidak mudah untuk berada di posisi jurulatih, penting bersabar kerana untuk menjaga pemain berstatus bintang memang banyak dugaan.
Sementara itu, dalam sidang media di ABM, kelmarin, Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, badan induk itu sentiasa mengalu-alu kedatangan Zii Jia ke ABM untuk menyertai sesi latihan bersama dan tawaran itu turut dibuka kepada semua pemain profesional negara.-UTUSAN
The post Zii Jia kena mula dari angka kosong appeared first on Utusan Malaysia.






