
PETALING JAYA: Belum genap setahun kembali solo, penyanyi Zizi Kirana, 41, mengakui media sosialnya kini kembali dipenuhi mesej peribadi (DM) daripada individu yang mahu mendampinginya.
Lebih mengejutkan, penyanyi itu mendedahkan ada antara mesej berkenaan datang daripada golongan isteri yang menawarkan diri untuk menjadi madu.
Bagaimanapun, Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, berkata dia tidak berminat untuk berumah tangga apalagi berkongsi suami buat masa ini kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya seni.
“Saya tidak mahu bermadu dan sekarang ini kepala memang tidak fikir hendak mencari jodoh atau sebagainya kerana mahu kembali fokus kepada kerjaya seni.
“Saya mahu kembali menghasilkan lagu dan berkongsi dengan semua yang pernah menyokong saya dari dulu hingga sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada konsert akhir Big Stage Rocketfuel, baru-baru ini.
Menurut Zizi, dia turut menerima mesej-mesej pelik daripada individu yang mahu berkenalan dengannya, malah ada bertindak keterlaluan dengan menghantar gambar tidak senonoh.
“Sekarang rasa saya sudah kembali ke zaman sebelum ini kerana kembali menerima mesej peribadi (DM) yang aneh-aneh.
“Antara mesej yang saya terima, ada yang mahu berkenalan tetapi menghantar pula gambar tidak senonoh.
“Situasi seperti ini pernah berlaku sebelum ini dan sebab itu saya biarkan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Zizi tidak menolak kemungkinan untuk kembali membuka hati sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh pada masa akan datang.
“Saya tidak berani hendak kata hati sudah tertutup habis kerana hati kita Allah yang pegang.
“Setiap hari saya berdoa, ‘Ya Allah, Kau yang memegang hati ini, Kau sahaja tahu apa yang terbaik untuk diri ini.’
“Bukan juga trauma, tetapi cuma malas hendak fikir. Apa yang sudah berlaku, biarkan berlalu dan jangan pandang kembali,” katanya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Eh itu mengakui kini lebih berhati-hati dan cerewet dalam memilih lelaki yang bakal hadir dalam kehidupannya.
“Memanglah perlu sentiasa berhati-hati tetapi buat masa sekarang, saya memang tidak terfikir hendak mencari apa-apa (pasangan).
“Alhamdulillah, saya selesa menyendiri,” katanya.
Zizi yang bakal melancarkan lagu duet bersama seorang penyanyi dari Asia Barat pada Oktober depan berkata, buat masa ini, fokus utamanya adalah mengembangkan semula kerjaya muzik.
Terdahulu, Zizi sah bercerai talak satu dengan pelakon Yusuf Bahrin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 2 April lalu. -UTUSAN
The post Zizi Kirana terima mesej isteri lamar jadi madu appeared first on Utusan Malaysia.






