Samsung Galaxy Z Fold5 dan Samsung Galaxy Z Flip5 akhirnya dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan sebentar tadi. Dengan iterasi ke lima peranti skrin boleh-lipat mereka, Samsung sudah memahami apa yang diinginkan oleh pengguna peranti skrin boleh-lipat. Senarai 10 perkara menarik dan mengecewakan ini dihasilkan supaya orang ramai boleh melihat sama ada kedua-dua peranti ini memenuhi kehendak mereka.
MENARIK
1.Rekaan Baharu Lebih Nipis Dan Ringan

Ramai merungut skrin siri Z Fold dan Z Flip tidak boleh ditutup sepenuhnya tahun lalu. Ramai risau ruang kecil antara skrin dalam kedudukan tertutup boleh dimasuki habuk atau kunci yang boleh merosakkan skrin. Tahun ini mekanisme lipatan Z Fold5 dan Z Flip5 telah diubah membolehkan ia dilipat rapat seperti peranti keluaran Oppo, Honor dan Vivo. Selain tiada lagi ruang terbuka, peranti kini lebih ringan menyelesaikan satu lagi isu yang sering didengari mengenai peranti Fold yang dikatakan terlalu berat.
2.Skrin Flex Window Z Flip5 Berguna

Skrin luar Z Flip5 kini membesar ke 3.4″ dengan ia kini dipanggil Flex Window. Pada skrin ini pelbagai widget bersaiz besar boleh dipamerkan bersama dengan aplikasi terpilih seperti WhatsApp, Messages dan YouTube. Mudah melihat ramalan kaji cuaca, agenda kalender harian, jumlah tapak pengguna sudah berjalan dan menjawab mesej terus dari skrin luar. Peranti masih boleh digunakan tanpa perlu dibuka sepanjang masa yang akan menjimatkan masa dan lebih penting sekali bateri.
3.Cip Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy Berkuasa

Cip Snapdragon 8 gen 2 for Galaxy ialah cip yang paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini. Kesemua peranti yang menggunakannya setakat ini memberikan markah penanda aras paling tinggi, pengalaman penggunaan paling lancar, prestasi gaming memuaskan dan hayat bateri terbaik. Kami masih belum mampu melakukan ujian penanda aras pada Z Fold5 dan Z Flip5 tetapi dalam ujian awal dapat dirasakan aplikasi berjalan lebih lancar.
4. Kalis Air IPX8

Kemampuan kalis air kedua-dua peranti masih lagi IPX8 yang membolehkan di dibenamkan ke dalam air. Ia adalah ciri yang sudah menjadi kebiasaan pada peranti kelas mercu tetapi dalam kelas peranti skrin boleh-lipat sokongannya adalah terhad. Bagi mereka yang inginkan kelapangan minda menggunakan peranti di luar, kemampuan kalis air ini pastinya dicari. Umum kita ketahui jika air memasuki bahagian dalaman peranti, kos membaikinya adalah amat tinggi.
5.Sokongan 4 Versi Android dan 5 Tahun Sekuriti

Samsung menawarkan sokongan perisian yang terbaik di antara pengeluar Android. Pada Z Fold5 dan Z Flip5, jaminan kemas kini Android sebanyak empat versi dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun diberikan. Ini adalah perlu kerana trend semasa ialah menggunakan telefon pintar untuk tempoh yang lebih lama. Tiada kerisauan mengenai peranti digodam, data dicuri dan aplikasi perbankan berhenti berfungsi kerana sijil keselamatan telah luput.
6.Perisian Paling Lengkap Untuk Peranti Skrin Boleh-Lipat

Kekuatan Samsung dalam segmen peranti skrin boleh-lipat terletak pada perisian mereka yang bukan sahaja disokong paling lama tetapi juga menawarkan ciri yang paling lengkap. One UI 5.1.1 berasaskan Android hadir dengan ciri seperti Taskbar, Multi Window, Floating Windows dan Flex Mode yang kini turut digunakan oleh pengeluar lain. Tetapi implementasi perisian Samsung adalah lebih lancar dan matang. Perisian adalah penting kerana tanpanya, pengalaman penggunaan boleh terganggu menyebabkan peranti terasa tidak berbaloi untuk dimiliki.
7.Harga Jualan Sama

Harga jualan Z Fold5 bermula daripada RM6799 sebuah. Pada ketiga-tiga model yang ditawarkan di Malaysia harga jualannya adalah sama seperti Z Fold4. Trend semasa yang dapat kita lihat tahun ini ialah harga peranti yang semakin mahal. Pada Z Flip5 pula, harga jualan bermula RM4499 yang meningkat antara RM100-200 sahaja berbanding Flip4 yang kami rasakan munasabah kerana pengguna Flex Window yang besar di luar.
MENGECEWAKAN
8.Tiada Perubahan Pada Sistem Kamera

Sistem kamera Z Fold4 dan Z Flip5 dikitar semula tanpa sebarang perubahan pada saiz sensor dan lensa. Ini adalah mengecewakan kerana orang ramai secara lazimnya ingin perubahan besar dilalukan pada model baharu. Samsung berkata penambahbaikan kamera hanya dilakukan pada peringkat perisian. Adakah ini memadai? Kami hanya boleh katakan ya ataupun tidak selepas melakukan ulasan penuhnya kelak.
9.Sistem Pengecasan Masih 25W

Bateri juga berkapasiti sama dengan sistem pengecasan masih lagi 25W. Ini adalah mengecewakan kerana pengeluar lain sudah menawarkan pengecasan yang lebih pantas pada peranti kelas pertengahan mereka yang dijual pada harga lebih mampu milik. Samsung bukan sahaja tidak mengemaskini sistem pengecasan lebih pantas tetapi pengecas tidak disertakan.
10.Nisbah Skrin Luar Z Fold5 Masih Sama

Awal tahun ini muncul ura-ura skrin luar Z Fold5 akan dilebarkan lagi bagi menjadikannya lebih sama dengan nisbah skrin peranti candybar. Honor Magic Vs dan Vivo X Fold2 kedua-duanya hadir dengan nisbah skrin yang lebih mudah digunakan untuk menaip ini. Tidak seperti pada Z Flip5, tiada perubahan pada skrin luaran Z Fold5 yang pada hemat kami mengecewakan.
Khusus buat pembaca Amanz, gunakan kod promosi AZGALAXY sewaktu membeli Galaxy Z Flip5 di laman rasmi Samsung Malaysia bagi menerima diskaun RM 200, atau untuk Galaxy Z Fold5 anda akan menerima diskaun RM 400, terhad sementara stok masih ada.
- Info
- Beli: Samsung Galaxy Z Flip5
- Info
- Beli: Samsung Galaxy Z Fold5
