
Jabatan Imigresen Malaysia Selangor menahan 112 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara menerusi empat operasi berasingan di sekitar Kajang.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 112 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, menerusi empat operasi berasingan di sekitar daerah Kajang, semalam.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan) Mohmad Khusairi Kamarudin berkata operasi yang bermula 9 pagi itu melibatkan 20 pegawai, merangkumi pelaksanaan Ops Belanja, Ops Minyak, Ops Mahir dan Ops Selera.
“Sebanyak 114 individu diperiksa dalam operasi tersebut, dengan 112 daripadanya terdiri daripada 98 lelaki dan 14 wanita berusia antara 14 hingga 52 tahun, ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 87 orang, diikuti Indonesia (13), Pakistan (tujuh) dan Myanmar (lima),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohmad Khusairi berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.






