
KOTA TINGGI – Selesa ‘berkampung’ di premis perniagaan dan rumah kedai sekitar Pengerang, seramai 78 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan akhirnya berjaya ditahan dalam operasi bersepadu, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Jabatan Imigresen Negeri Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan telah melaksanakan operasi itu pukul 11.00 pagi hasil risikan serta pemantauan berterusan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.
Katanya, kesemua warga asing berkenaan dicekup selepas premis kedai gunting rambut, kedai cuci kenderaan, kedai makan dan kedai runcit yang dipercayai digaji serta dikendalikan secara tidak sah diserbu.
“Premis-premis yang dipercayai menggaji atau dikendalikan oleh warga asing secara menyalahi undang-undang ini telah diperiksa secara menyeluruh. Individu didapati melakukan kesalahan termasuk menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
”Tangkapan membabitkan 30 lelaki warga Indonesia, 24 warga Pakistan, 10 warga Bangladesh, 6 warga Myanmar dan satu India. Turut ditahan enam wanita warga Indonesia serta seorang wanita Myanmar berumur antara 20 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post 78 warga asing selesa ‘berkampung’ di Pengerang diberkas appeared first on Kosmo Digital.






