2,296 syarikat tempatan catat RM29.8 bilion jualan eksport setakat 31 Ogos 2026, kata MITI

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

2,296 syarikat tempatan catat RM29.8 bilion jualan eksport setakat 31 Ogos 2026, kata MITI Image from: 2,296 syarikat tempatan catat RM29.8 bilion jualan eksport setakat 31 Ogos 2026, kata MITI amree26/11/2026 - 09:01 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Sebanyak 2,296 syarikat tempatan berjaya menjana nilai jualan eksport berjumlah RM29.89 bilion menerusi pelbagai program promosi eksport kerajaan setakat 31 Ogos 2026, sekali gus mencerminkan potensi produk dan jenama Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.04 bilion merupakan jualan eksport sebenar, manakala baki RM27.85 bilion adalah jualan berpotensi yang dikenal pasti melalui penyertaan syarikat terbabit dalam program berkenaan.

 

Tambahnya, sebanyak 310 penyertaan dalam program promosi eksport bagi 2026 sudah diluluskan Jawatankuasa Penyelarasan Eksport (JK-X), yang membabitkan peruntukan sebanyak RM116.85 juta.

 

"MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) selaku sekretariat JK-X akan terus memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

 

Ia menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai status pelaksanaan agenda 'Made by Malaysia', khususnya pembangunan produk berteknologi tinggi yang ada reka bentuk, teknologi dan harta intelek milik syarikat tempatan serta nilai eksport dijana.

 

Ujar MITI, usaha dilaksanakan itu turut selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Tindakan Perdagangan Negara serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.

 

MITI_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian tersebut memaklumkan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) turut disediakan sebagai instrumen sokongan bagi menterjemahkan misi NIMP 2030 kepada pelaksanaan di peringkat syarikat.

 

"Setakat Oktober 2026, sebanyak 374 syarikat tempatan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan telah menerima manfaat menerusi pelaksanaan projek di bawah NIDF," jelas MITI.

 

Mengenai isu pembangunan produk berasaskan harta intelek (IP) milik syarikat tempatan, rekod Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menunjukkan sebanyak 48,548 pendaftaran IP direkodkan antara 2021 hingga September 2026.

 

Ujar kementerian berkenaan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 45,801 merupakan pendaftaran cap dagangan, diikuti sejumlah 1,444 paten dan kira-kirqa 1,303 reka bentuk perindustrian.

 

MITI berkata, pendaftaran paten oleh syarikat tempatan meningkat daripada 204 pada 2021 kepada 318 pada 2024, manakala pendaftaran reka bentuk perindustrian melonjak daripada 40 kepada 344 dalam tempoh sama.

 

"Selain pasaran domestik, sebanyak 667 pendaftaran cap dagangan di luar negara turut direkodkan oleh syarikat tempatan antara 2021 hingga 2025, khususnya di Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Vietnam bagi melindungi jenama masing-masing di pasaran antarabangsa," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved