amree26/11/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Seramai 130,237 usahawan menerima manfaat pembiayaan berjumlah RM3.17 bilion daripada Tekun Nasional sepanjang 2023 hingga 2025, dengan bantuan itu turut menyumbang kepada pewujudan 4,808 peluang pekerjaan baharu.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkata, daripada jumlah keseluruhan skim pembiayaan tersebut, sebanyak RM1.33 bilion disalurkan kepada seramai 69,556 penerima kali pertama dalam masa tempoh tiga tahun berkenaan.
Sementara baki RM1.84 bilion pula jelasnya, disalurkan kepada 60,681 usahawan yang pernah menerima pembiayaan daripada agensi berkenaan sebelum ini bagi membantu peserta terbabit dalam mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
"Pembiayaan ini membolehkan seramai 527 usahawan mencapai jualan tahunan melebihi RM300,000, manakala 430 lagi berjaya mengembangkan perniagaan daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," jelas kementerian tersebut.
Kuskop menyatakan demikian sebagai menjawab secara bertulis soalan daripada Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) menerusi laman web rasmi Parlimen pada Khamis berhubung keberkesanan program dilaksanakan kementerian itu terutamanya Tekun Nasional.
Penilaian impak terhadap program pembiayaan seperti inisiatif menerusi Tekun Niaga turut mendapati lebih 65% usahawan tersebut berjaya mencatat peningkatan keuntungan bersih selepas menerima kemudahan pembiayaan berkenaan.

Dalam usaha memperluas pasaran digital kepada usahawan luar bandar, Kuskop sedang memperkukuh kerjasama dengan platform e-dagang utama menerusi penyediaan pembiayaan, latihan, bimbingan keusahawanan serta peluang pemasaran dalam dan luar negara.
"Antara inisiatif ittu ialah penubuhan 12 studio TikTok Shop LIVE Hub di bawah Tekun Nasional, selain meneroka projek rintis Malaysia Mall menerusi platform Tmall dan Taobao membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran China," katanya.
Kementerian itu turut memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp Malaysia dengan Lazada Malaysia dimeterai bagi melaksanakan Inisiatif Eksport Digital PMKS, sekali gus memperluas akses perniagaan tempatan ke pasaran eksport digital.
Selain itu, Kuskop bersedia memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta program Rural Business Challenge (RBC) bagi memastikan pembangunan keusahawanan luar bandar secara bersepadu.
Tekun Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan TEKUN Nasional ditubuhkan secara rasmi pada 9 November 1998. Bagaimanapun, projek perintis Tekun sudah bermula lebih awal, iaitu pada Mei 1995 di Pulau Pinang sebelum diperluas ke seluruh negara.
Ia kini merupakan agensi di bawah Kuskop yang menyediakan kemudahan pembiayaan, bimbingan serta sokongan pembangunan perniagaan, khususnya kepada usahawan mikro dan Bumiputera. - DagangNews.com





