30 pasangan nikah di Thailand setiap bulan

7 Aug 2026 • 11:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 30 pasangan nikah di Thailand setiap bulan

PETALING JAYA – Dakwaan bahawa rakyat Malaysia memi­lih untuk bernikah di Thailand semata-mata bagi tujuan poli­gami adalah tidak tepat, sebaliknya terdapat pelbagai faktor yang mendorong pasangan memilih untuk melangsungkan perkahwinan di negara jiran itu.

Pemilik perkhidmatan pengurusan nikah Thailand, Syed Araniri @ Mutalib Syed Ahmad atau dikenali Pak Talib berkata, kes poligami hanyalah antara faktor, selain masalah dokumentasi, ketiadaan wali, isu pendaftaran perkahwinan ibu bapa dan pro­ses yang lebih mudah di Thailand.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan pakej pernikahan di Majlis Agama Islam Wilayah Sa­tun hanya pada hari Sabtu dengan kadar RM950.

“Pakej RM950 ini untuk bernikah dan mendapatkan surat nikah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Satun. Saya buat hanya seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu,” katanya.

Pak Talib yang menguruskan sekurang-kurangnya 30 pasa­ngan setiap bulan berkata, bagi pasangan yang mahu bernikah di Songkhla, caj dikenakan ialah RM1,490 termasuk pengangkutan dan surat nikah.

Katanya, pakej RM1,900 pula merangkumi urusan mendapatkan surat pengesahan Konsulat Malaysia di Songkhla yang memerlukan pasangan bermalam selama tiga hari di Hat Yai, termasuk kos hotel,” katanya.

Mengulas faktor pasangan memilih bernikah di Thailand, Pak Talib berkata, bagi kes ­poligami, proses di Malaysia memerlukan kebenaran Mahkamah Syariah selain penelitian terhadap kela­yakan suami.

“Di Thailand, lelaki hanya perlu membawa pasport atau border pass bersama kad pengenalan dan boleh bernikah. Tiada soalan berkaitan poligami,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua pasangan yang bernikah di Thailand adalah ­kerana mahu berpoligami.

Katanya, terdapat kes ibu bapa yang bernikah di Thailand puluhan tahun lalu tetapi gagal mendaftarkan perkahwinan di Malaysia sehingga menimbulkan masalah kepada anak-anak mereka untuk berkahwin di Malaysia.

“Jadi mereka terpaksa bernikah di Thailand kerana ada ­keka­ngan dokumen,” katanya.

Selain itu katanya, ada juga kes anak angkat yang menghadapi kesukaran mendapatkan wali sehingga mengambil masa bertahun-tahun di Mahkamah Syariah.

“Terdapat pasangan yang berkemampuan memilih bernikah di Thailand kerana menganggap proses di sana lebih mudah sebelum kembali mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dengan persetujuan keluarga,” katanya.

The post 30 pasangan nikah di Thailand setiap bulan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved