Peniaga online dicekup, tak sempat jual produk kosmetik seludup di TikTok

LocalBeauty
23 Oct 2026 • 5:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peniaga online dicekup, tak sempat jual produk kosmetik seludup di TikTok

TUMPAT – Hajat seorang peniaga dalam talian untuk menjual pelbagai jenis produk kecantikan yang diseludup dari Thailand di akaun TikTok miliknya tidak kesampaian apabila dicekup di kawasan Jambatan Ular, Kampung Pulau Ular dekat Pengkalan Kubor di sini semalam.

Wanita berusia 32 tahun yang berasal dari Wakaf Bharu di sini ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika membawa kesemua produk kosmetik bernilai RM770 itu di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Batalion 9 PGA pada awalnya melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan dengan motosikal di kawasan tersebut.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta dipandu wanita itu menjumpai sebanyak dua bungkusan plastik berisi pelbagai jenis produk kecantikan.

Image from: Peniaga online dicekup, tak sempat jual produk kosmetik seludup di TikTok
Produk kosmetik seludup yang dirampas dalam sebuah kereta dipandu seorang wanita di kawasan Jambatan Ular, Kampung Pulau Ular dekat Pengkalan Kubor, Tumpat semalam. Foto PGA

“Siasatan mendapati, 22 peket sabun, sekotak serum pemutih ketiak dan tiga lagi kotak berisi produk kecantikan itu diseludup dari Thailand dengan menggunakan laluan Sungai Golok melalui pengkalan haram.

“Wanita itu mengaku produk kecantikan tersebut akan dijual semula melalui akaun TikTok miliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, suspek turut memaklumkan bahawa aktiviti pembelian dan pengambilan produk kecantikan tersebut dilakukan sekali seminggu mengikut kepada permintaan pelanggan.

Katanya, kesemua produk kecantikan itu diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Bahagian Farmasi Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – KOSMO! ONLINE

The post Peniaga online dicekup, tak sempat jual produk kosmetik seludup di TikTok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved