ISKANDAR PUTERI - Seramai 312 saudara baharu atau mualaf yang mendaftar untuk memeluk agama Islam direkodkan sepanjang tempoh tiga bulan lalu.
Exco Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, masyarakat etnik Sarawak merekodkan jumlah tertinggi seramai 74 orang.
“Jumlah ini diikuti seramai 52 masyarakat orang Asli; 49 orang kaum Cina; 48 orang kaum India; 38 etnik Sabah dan 51 lagi individu lain-lain latar belakang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berhubung inisiatif atau bantuan pemerkasaan sosial terhadap golongan mualaf di negeri ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, di sini pada Selasa.
Menuruntnya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi Akaun Amanah Muallaf menerima peruntukan sebanyak RM19.836 juta untuk melaksanakan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan mualaf di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah memberitahu, sehingga 30 April lalu, perbelanjaan yang digunakan berjumlah RM7.04 juta, dengan baki peruntukan berjumlah RM12.796 juta.
Jelasnya, perbelanjaan itu merangkumi bantuan kebajikan, pendidikan, bimbingan agama serta keperluan asas selaras dengan usaha memperkukuh penghayatan Islam dan kesejahteraan hidup mereka.
Mohd Fared memberitahu, antara bantuan yang diberi termasuk bantuan sekolah rendah dan menengah antara RM1,200 hingga RM1,800 hingga RM3,600 setahun; bantuan perkahwinan one-off bernilai RM1,500 dan pembubaran perkahwinan sivil sehingga RM3,000.






