UTHM dicadang dinaik taraf universiti sukan, perkukuh hab atlet Johor

5 May 2026 • 10:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UTHM dicadang dinaik taraf universiti sukan, perkukuh hab atlet Johor
Mohd Hairi menjawab soalan lisan ketika Persidangan DUN Johor di Kota Iskandar pada Selasa.

ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan agar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinaik taraf sebagai universiti sukan atau sebuah universiti sukan baharu dibina di Batu Pahat bagi memperkukuh pembangunan atlet di negeri ini.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit menyuarakan cadangkan berkenaan ketika sesi soal jawab lisan DUN melibatkan Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Sebelum itu, Mohd Hairi (BN- Larkin) menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN- Kota Iskandar) berkenaan cadangan mewujudkan sebuah universiti sukan sebagai hub pembangunan sukan di negeri ini ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Selasa.

Mohd Hairi menjelaska penubuhan universiti sukan bukan prasyarat utama dalam merealisasikan aspirasi Johor sebagai “Johor Sports Nation”, sebaliknya berperanan sebagai pelengkap kepada ekosistem sedia ada.

“Penubuhan universiti sukan ini tertakluk kepada kesediaan ekosistem, keperluan semasa serta kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh, termasuk penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

“Ini penting supaya universiti sukan yang diwujudkan nanti bukan hanya gah sekadar nama, tetapi benar-benar berfungsi sebagai pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi yang memberi impak kepada negeri dan juga rantau ini.,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pembangunan sukan secara menyeluruh melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

Katanya, antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan ialah penubuhan Seksyen Pendidikan dan Kerjaya Atlet menerusi Johor Athlete Career and Education (JACE), yang bertujuan memastikan atlet negeri tidak tercicir dalam aspek pendidikan.

“Melalui JACE, atlet khususnya di bawah program SUKMA dan pembangunan akan terus dibimbing dari segi pendidikan serta perancangan kerjaya selepas bersara daripada sukan,” katanya.

"Melalui JACE juga, MSNJ telah menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi membolehkan atlet lepasan SPM menyambung pengajian secara fleksibel," katanya.