35.2% pekerja berkelayakan tinggi masih bekerja tidak setara dengan kemahiran - Jobstreet

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 11:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

35.2% pekerja berkelayakan tinggi masih bekerja tidak setara dengan kemahiran - Jobstreet Image from: 35.2% pekerja berkelayakan tinggi masih bekerja tidak setara dengan kemahiran - Jobstreet sarah16/10/2026 - 11:02 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Sebanyak 35.2% pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia masih bekerja dalam pekerjaan yang tidak setara dengan kemahiran mereka, sekali gus menekankan keperluan memastikan peruntukan pembangunan kemahiran di bawah Belanjawan 2027 benar-benar membantu rakyat memperoleh pekerjaan yang lebih sesuai.

 

Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian serta pembiayaan RM3 bilion oleh HRD Corp untuk menyediakan tiga juta peluang latihan merupakan pelaburan besar dalam pembangunan tenaga kerja negara.

 

“Cabaran seterusnya adalah memastikan peluang latihan ini berkait rapat dengan permintaan pasaran buruh dan membawa kepada pekerjaan yang relevan serta kemajuan kerjaya,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, walaupun kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9% pada Ogos 2026 berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan guna tenaga sahaja tidak menggambarkan sejauh mana kemahiran pekerja dimanfaatkan. Laporan Kajian Pasaran Buruh Suku Kedua 2026 DOSM menunjukkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan pekerja berpendidikan tinggi berada pada 35.2%.

 

Nicholas berkata, data platform Jobstreet by SEEK menunjukkan jumlah iklan pekerjaan berbayar secara keseluruhannya hampir tidak berubah pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Walaupun aktiviti pengambilan pekerja meningkat, padanan pekerjaan yang lebih baik bergantung kepada sejauh mana kemahiran pencari kerja memenuhi keperluan majikan,” tambahnya.

 

Permintaan terhadap kemahiran kecerdasan buatan (AI) terus meningkat apabila iklan pekerjaan berkaitan AI merangkumi 2.9% daripada keseluruhan iklan di Jobstreet pada Ogos 2026, berbanding 0.9% pada Januari 2024. Dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bahagiannya meningkat kepada 14% daripada 5% pada 2024, dengan peningkatan turut dilihat dalam bidang pengiklanan, media serta pemasaran dan komunikasi.

 

Nicholas berkata, pencari kerja perlu mengenal pasti jurang kemahiran dan memilih latihan yang sesuai dengan keperluan pasaran, manakala majikan perlu menyediakan latihan yang relevan serta mengiktiraf pengalaman dan kemahiran yang boleh digunakan merentasi industri. Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja Jobstreet by SEEK 2026 turut mendapati 68% pekerja Malaysia merasakan pekerjaan mereka bermakna dan memberikan kepuasan, dengan tujuan bekerja menjadi faktor utama kebahagiaan di tempat kerja.

 

“Hubungan antara pencari kerja, majikan dan penyedia latihan akhirnya akan menentukan sejauh mana pelaburan pembangunan kemahiran dapat memenuhi permintaan pasaran buruh,” katanya sambil menekankan kepentingan langkah Belanjawan 2027 dalam membantu rakyat memperoleh pekerjaan yang sesuai dan meningkatkan peluang kemajuan kerjaya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved