sarah13/10/2026 - 15:45 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Potensi penyenaraian IOI Properties Group Bhd di Singapore Exchange (SGX) masih dalam penilaian pihak pengurusan dan belum dikemukakan secara rasmi kepada Lembaga Pengarah untuk pertimbangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pihak pengurusan akan terus meneliti dan menilai potensi berdasarkan merit strategik serta manfaatnya kepada syarikat dan pemegang saham.
"Ini termasuk mempertimbangkan peluang untuk membolehkan sekuriti syarikat didagangkan di pasaran berbeza.
"Sebarang cadangan yang disyorkan oleh pihak pengurusan akan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan serta tertakluk kepada keperluan kawal selia yang berkenaan," tambah makluman itu.
IOI Properties berkata, pihaknya akan membuat pengumuman sewajarnya berhubung sebarang perkembangan penting selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties, Datuk Lee Yeow Seng dilaporkan berkata, kumpulan itu telah memulakan perbincangan mengenai kemungkinan penyenaraian di SGX.
Bagaimanapun, dalam makluman terbaharu kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih dinilai pihak pengurusan dan belum dikemukakan secara rasmi kepada lembaga pengarah untuk pertimbangan.- DagangNews.com






