
PETALING JAYA: Seramai tujuh individu termasuk empat penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki merasuah pegawai pihak berkuasa di sebuah pelabuhan di Sabah sebagai balasan melepaskan pemeriksaan ayam sejuk beku yang diimport secara tidak sah.
Reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selama tiga hari sehingga 15 Ogos ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.
Sumber memaklumkan, sebanyak 10 kontena ayam sejuk beku yang diimport dari China dan Poland secara tidak sah turut disita.
“Reman terhadap suspek dilakukan susulan operasi yang dijalankan menerusi ‘Op Chick’ oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sabah semalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. –UTUSAN
The post 4 penjawat awam antara tujuh individu terlibat sindiket import ayam sejuk beku appeared first on Utusan Malaysia.




