
SELEPAS pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) melabuhkan tirainya Ahad lalu, persembahan dan kemenangan Aina Abdul masih hangat diperkatakan.
Selain membawa pulang tiga pengiktirafan, perhatian ramai turut terarah kepada busana luar biasa yang menyarungkan penyanyi itu ketika menyampaikan lagu Kamu.
Sekali lagi, Aina memilih sentuhan pereka fesyen tersohor, Melinda Looi yang sememangnya sering menjadi antara pereka pilihannya untuk menghasilkan penampilan dramatik dan sarat elemen penceritaan.
Bagi AJL40, Melinda tidak sekadar menghasilkan busana pentas, sebaliknya menterjemahkan emosi Kamu menerusi konsep KAMU: The Art of Eruption, diinspirasikan daripada gunung berapi, lava cair dan api.
Konsep Kamu dipecahkan kepada empat peringkat emosi iaitu K untuk Kuasa, A (Api), M (Membara) dan U (Usai). Kesemuanya menggambarkan perjalanan emosi yang bermula dengan tekanan terpendam sebelum memuncak kepada letusan dan akhirnya pembebasan.
Menurut pereka fesyen berbakat besar itu, dia mahu Aina kelihatan seolah-olah baru muncul dari perut sebuah gunung berapi.
“Lava itu kuat, sukar dijangka dan sentiasa berubah, sama seperti emosi yang diekspresikan menerusi Kamu.
“Saya tidak mahu sekadar menggayakan Aina. Saya mahu mencipta satu karakter, satu kuasa alam yang benar-benar ‘hidup’ apabila dia membuat persembahan,” kata Melinda.

Lebih menarik, busana tersebut menggabungkan bahan-bahan yang jarang dikaitkan dengan dunia couture.
Antaranya sequin mesh, poliester lurex metalik dan kapas, selain kira-kira lima kilogram arang yang digunakan bagi menghasilkan tekstur menyerupai batu gunung berapi.
Bentuk tiga dimensi pada busana pula dibina menggunakan styrofoam, gam lateks dan cat akrilik sebelum keseluruhan permukaannya diperkaya dengan sekitar 6,000 elemen Swarovski, manik kaca dan akrilik serta labuci.Elemen pergerakan turut diberikan perhatian.
Sebanyak 80 meter rambu nilon dan 60 meter rambu manik kaca digunakan bagi mencipta kesan beralun setiap kali Aina bergerak, seakan-akan aliran lava yang menuruni lereng gunung.
Di bawah limpahan cahaya pentas, kilauan Swarovski menyerupai serpihan mineral panas, manakala arang dan tekstur gelap menjadi kontras kepada elemen berkilau tersebut.
Melinda menyifatkan rekaan berkenaan sebagai penerokaan fesyen melangkaui batas konvensional apabila couture, seni arca, eksperimen material dan persembahan disatukan dalam satu bahasa visual.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram, Aina turut menjelaskan bahawa konsep gunung berapi yang diketengahkan menerusi busana tersebut mempunyai kaitan rapat dengan perjalanan emosi dalam lagu Kamu.
“Kamu bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya membawa kisah tentang pengkhianatan, kemarahan yang lama terpendam serta kekecewaan yang akhirnya ‘meletus’ selepas terlalu lama memilih untuk berdiam diri.
Gunung berapi kemudian dijadikan metafora kepada pergolakan tersebut, sesuatu yang bermula jauh di dalam, terus membara sebelum akhirnya meletus sebagai satu kuasa yang tidak lagi dapat dibendung.
“Busana ciptaan Melinda pula melengkapkan penceritaan itu dengan menjadikan penampilan Aina sebagai gambaran luaran kepada hati dan jiwa yang terluka akibat dikhianati,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Secara keseluruhannya, rekaan Melinda membuktikan busana pentas mampu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar mencipta penampilan menarik buat seseorang penyanyi.
Menerusi Kamu, fesyen menjadi sebahagian daripada penceritaan apabila setiap tekstur, perincian dan pergerakan busana diterjemahkan selari dengan emosi yang dibawa Aina di atas pentas.
Kolaborasi Melinda dan Aina sekali lagi memperlihatkan bagaimana muzik dan fesyen boleh saling melengkapi untuk menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja didengar, malah dirasai dan diingati.
The post 4 peringkat emosi, busana ledakan gunung berapi Aina Abdul guna 5kg arang appeared first on Kosmo Digital.





