50 warga emas, golongan B40 di Shah Alam terima sumbangan Aidilfitri

LocalSales & Promo
13 Mar 2026 • 1:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan sumbangan kepada 50 penerima terdiri daripada warga emas, golongan berpendapatan rendah (B40) dan penduduk sekitar Shah Alam sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Sumbangan wang tunai serta set hamper itu disampaikan menerusi Program Sumbangan Prihatin sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang diadakan di Dewan MBSA, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 di sini, semalam.

MBSA memaklumkan, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam bagi menyantuni golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.

"Program ini merupakan salah satu inisiatif MBSA dalam membantu golongan kurang berkemampuan serta mengeratkan hubungan silaturrahim bersama masyarakat setempat," demikian menurut kenyataan itu.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar.

Turut hadir Ahli Majlis MBSA, Tengku Ahmad Tengku Kasim; Pengerusi MPP Zon 15, Hasheena Begum Osanarau; Pengerusi PAWE Teluk Menegun, Hassan Musa serta pengurusan tertinggi MBSA.