
KUALA LUMPUR – Lebih 65,000 kandungan berkaitan penipuan atau scam dan judi dalam talian secara haram masih belum diturunkan oleh platform dalam talian susulan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada lebih satu juta permintaan penurunan kandungan yang dikemukakan kepada platform dalam talian dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu.
Menurutnya, sebanyak 935,416 kandungan telah diturunkan, mewakili kadar pematuhan platform sebanyak 93 peratus meliputi 592,695 kandungan berkaitan perjudian dan lebih 227,486 (penipuan).
“Namun, sebanyak 65,280 kandungan tidak diturunkan susulan permintaan MCMC.
“Angka itu penting kerana walaupun kadar pematuhan adalah agak tinggi, puluhan ribu kandungan yang berpotensi memudaratkan masih boleh diakses pengguna,” katanya ketika berucap pada M360 ASEAN di Grand Hyatt Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penjualan dadah secara dalam talian, Fahmi berkata, antara cabaran pihak berkuasa adalah barangan tersebut dipasarkan dengan penggunaan istilah tertentu yang tidak secara langsung merujuk kepada nama atau sifat sebenar barangan berkenaan.
“Kadangkala cara sesuatu barang terlarang itu diperagakan dalam platform mereka mungkin tidak menggunakan perkataan tertentu. Jadi mereka cuba untuk bermain (dengan istilah).
“Saya bagi contoh dalam isu jualan dadah terlarang, fentanyl bagi penggunaan vape. Kadangkala mereka menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza tetapi bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli,” katanya.
Fahmi berkata, penjual juga didapati tidak menggunakan nama saintifik atau menyatakan secara jelas bahawa produk yang ditawarkan adalah dadah.
Fahmi berkata, isu berkenaan paling banyak dikesan pada satu platform tertentu, namun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan barangan terlarang, termasuk dadah, tidak dijual melalui platform e-dagang.
Katanya, pengendali platform berkenaan telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan pada Isnin lalu, namun beliau masih belum menerima taklimat mengenai perkara tersebut.
“Pendirian Malaysia tegas. Kita tidak akan berganjak. Mereka perlu lebih proaktif, bukan sekadar menurunkan (kandungan),” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 65,000 kandungan ‘haram’ masih belum diturunkan appeared first on Kosmo Online.






