65,000 kandungan ‘haram’ masih belum diturunkan – Fahmi

LocalPolitics
10 Sep 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 65,000 kandungan ‘haram’ masih belum diturunkan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Lebih 65,000 kandungan berkaitan penipuan atau scam dan judi dalam talian secara haran masih belum diturunkan oleh pengendali platform susulan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada lebih satu juta permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan kepada platform dalam talian dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu.

“Kadar pematuhan 93 peratus masih meninggalkan lebih daripada 65,000 kandungan yang tidak diturunkan susulan permintaan MCMC. Jumlah itu penting,” katanya ketika berucap pada M360 ASEAN, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penjualan dadah secara dalam talian, Fahmi berkata, antara cabaran utama adalah barangan tersebut dipasarkan dengan penggunaan istilah tertentu yang tidak secara langsung merujuk kepada nama atau sifat sebenar barangan berkenaan.

“Kadangkala cara sesuatu barang terlarang itu diperagakan dalam platform mereka mungkin tidak menggunakan perkataan tertentu. Jadi mereka cuba untuk bermain (dengan istilah).

“Saya bagi contoh dalam isu jualan dadah terlarang, fentanyl bagi penggunaan vape. Kadangkala mereka menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza tetapi bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli,” katanya.

Fahmi berkata, penjual juga didapati tidak menggunakan nama saintifik atau menyatakan secara jelas bahawa produk yang ditawarkan adalah dadah.

“Isu berkenaan paling banyak dikesan pada satu platform tertentu, namun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan barangan terlarang, termasuk dadah, tidak dijual melalui platform e-dagang,” katanya.

Jelas beliau, pengendali platform berkenaan telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan pada Isnin lalu, namun beliau masih belum menerima taklimat mengenai perkara tersebut.

“Pendirian Malaysia tegas. Kita tidak akan berganjak. Mereka perlu lebih proaktif, bukan sekadar menurunkan (kandungan),” katanya.

Media melaporkan lebih 7,000 kandungan berkaitan penjualan dadah telah dikemukakan MCMC kepada platform bagi tahun ini.

Sehubungan itu, lebih 6,500 atau 93 peratus daripadanya telah diturunkan platform setakat ini. – UTUSAN

The post 65,000 kandungan ‘haram’ masih belum diturunkan – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved