
SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 71,152 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 256 sekolah seluruh Selangor menerima set makanan tengah hari bernutrisi bernilai RM8 seorang bagi lima hari peperiksaan mata pelajaran teras menerusi Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) SPM 2026.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif membabitkan peruntukan RM3 juta itu dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memastikan keperluan pemakanan calon sepanjang peperiksaan diberi perhatian.
“Kita tumpukan untuk lima hari sahaja, iaitu hari-hari untuk mata pelajaran teras kerana mata pelajaran pilihan itu ada berbeza.
"Jadi kita tumpukan untuk mata pelajaran teras. Alhamdulillah, semoga ia membawa manfaat kepada pelajar-pelajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program NUTRISEL SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian di sini, hari ini.

Selain itu, seramai 2,442 calon SPM di 20 sekolah dan institusi termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah agama serta institusi pendidikan khas menerima Bakul NUTRISEL.
Bakul berkenaan mengandungi vitamin C, roti, bijirin, susu, coklat serta barangan keperluan pelajar, menjadikan keseluruhan penerima inisiatif itu seramai 73,594 calon.
Program yang dilaksanakan mulai 23 hingga 30 November itu bertujuan menyokong keperluan pemakanan, meningkatkan tumpuan dan menjaga kesejahteraan calon sepanjang peperiksaan.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada MITS Alam Impian bagi membaik pulih musolla dan kemudahan sukan demi keselesaan warga sekolah.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2026 dan berharap mereka memberikan tumpuan sepenuhnya serta memperoleh keputusan cemerlang.






