
Kota Kinabalu: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mempergiat usaha bagi mencapai 100 peratus elektrifikasi kampung di negeri ini.
Sasar berkenaan dengan tumpuan bukan sahaja kepada penyambungan elektrik ke rumah, malah memastikan bekalan sampai ke setiap komuniti dan akhirnya setiap isi rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahab berkata kadar elektrifikasi isi rumah di Sabah kini mencapai kira-kira 96 peratus, manakala kadar elektrifikasi kampung hanya sekitar 86 peratus.
“Ini bermakna kira-kira 14 peratus kampung di negeri ini masih belum mendapat akses kepada bekalan elektrik.
“Kita mahu 100 peratus kampung mendapat bekalan elektrik. Kita mahu memastikan bekalan elektrik sampai dari kampung ke tepi jalan, dari tepi jalan ke rumah dan seterusnya melibatkan pendawaian di dalam rumah.
“Inilah keseluruhan rantaian bekalan, termasuk peringkat terakhir sehingga sampai kepada pengguna,” katanya ketika Sesi Media ECoS di Shangri-La Tanjung Aru baru-baru ini.
Abdul Nasser berkata Majlis Tenaga Sabah telah menubuhkan Pasukan Petugas Elektrifikasi Luar Bandar Sabah bagi menyelaraskan usaha merentas kementerian dan agensi termasuk menerusi kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Katanya pendekatan itu bertujuan memperkenalkan intervensi dan kaedah baharu, dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan serta program sedia ada.
“Ini bukan sekadar melihat berapa banyak rumah yang mempunyai bekalan elektrik.
“Kita perlu meneliti keseluruhan rantaian bagi memastikan bekalan elektrik benar-benar sampai kepada pengguna akhir,” jelasnya.
Abdul Nasser menyatakan ECoS kini mempunyai kuasa kawal selia yang lebih luas susulan pengambilalihan fungsi berkaitan bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu secara berperingkat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Seda).
Menurutnya pengambilalihan itu dilaksanakan secara berperingkat sejak ECoS ditubuhkan pada 10 Januari, dengan fasa awal melibatkan kawal selia pembekalan gas darat.
Jelasnya kuasa kawal selia ECoS kini meliputi empat enakmen berkaitan bekalan elektrik, gas darat dan luar pesisir, tenaga boleh baharu serta Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC), katanya.
“Daripada ST dan Seda, kita sudah mengambil alih sepenuhnya kuasa kawal selia. Kini kita menggabungkan kedua-duanya dalam satu badan.
“Sebelum ini terdapat ST dan Seda tetapi sekarang satu badan mengendalikan kedua-dua bidang. Ini memudahkan urusan industri dan sebagainya,” ujarnya.
Abdul Nasser berkata ECoS mempunyai tiga peranan utama iaitu kawal selia ekonomi, teknikal dan keselamatan dalam sektor elektrik serta gas.
Kawal selia ekonomi merangkumi tarif, kos elektrik dan pengurusan subsidi, manakala kawal selia teknikal melibatkan piawaian, kebolehpercayaan, kecekapan, kualiti serta kemampanan sistem.
“Peranan ketiga ialah keselamatan. Ini penting dari segi keselamatan awam dalam sektor elektrik dan gas, termasuk pengguna elektrik dan gas serta pihak ketiga yang mungkin terdedah kepada bahaya berkaitan elektrik dan gas,” katanya.
Beliau berkata ECoS turut melaksanakan 16 inisiatif strategik bagi menangani cabaran sektor tenaga Sabah berpandukan konsep trilema tenaga yang bertujuan mengimbangi kebolehpercayaan, kemampuan harga dan kemampanan.
“Jika kita mahukan bekalan yang boleh dipercayai, mungkin harganya tinggi. Jika harganya murah, bekalan itu mungkin tidak boleh dipercayai. Satu lagi aspek ialah sama ada bekalan itu mampan atau sebaliknya.
“Jadi kita perlu mengimbangi ketiga-tiganya. Sebab itulah ia dipanggil trilema tenaga,” katanya.
Abdul Nasser berkata, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kekal sebagai antara keutamaan utama ECoS khususnya melalui pengurangan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI).
Beliau mengakui bacaan SAIDI Sabah masih lebih tinggi daripada paras yang disasarkan, namun berkata peningkatan prestasi akan dapat dilihat menerusi angka yang direkodkan.
“Memang benar bacaan SAIDI kita lebih tinggi daripada yang diinginkan. Namun kita akan menunjukkan bagaimana prestasinya semakin bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata bekalan gas juga berkait rapat dengan kebolehpercayaan bekalan elektrik kerana gangguan bekalan gas boleh menjejaskan sistem elektrik.
Mengenai peralihan tenaga Abdul Nasser berkata ECoS memberi tumpuan kepada usaha mengalihkan Sabah kepada sumber tenaga yang lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bahan api fosil. Harganya berubah-ubah, subsidi diperlukan dan sumbernya terhad.
“Sebaliknya tenaga boleh baharu boleh diperbaharui. Itulah yang perlu kita lakukan, tetapi pada masa sama kita mesti memastikan harga kekal mampu ditanggung pengguna,” katanya.
Mengenai kegiatan mencuri elektrik beliau berkata ECoS sedang memperkukuh dasar, perundangan dan penguatkuasaan bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil sebagai langkah pencegahan.
Tindakan yang boleh dikenakan termasuk hukuman penjara, pengusiran dari negara dan kompaun.
“Konsep kita ialah pencegahan melalui tindakan tegas. Kita mahu orang ramai memahami bahawa mencuri elektrik tidak berbaloi,” katanya.
Abdul Nasser berkata ECoS turut memberi penekanan kepada pemerkasaan pengguna menerusi program pendidikan dan kesedaran bagi membantu mereka memahami peranan masing-masing dalam mengurus penggunaan elektrik serta mengurangkan kos sara hidup.
Katanya strategi ECoS akan terus dikaji semula setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan ia kekal relevan seiring perubahan dalam sektor tenaga.
“Ini ialah dokumen yang sentiasa berkembang. Kita akan mengkajinya semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun kerana keadaan sentiasa berubah.
“Buat masa ini kira-kira 95 peratus daripadanya masih kekal sama dan kesemua 16 strategi serta inisiatif sedang dilaksanakan, sama ada sudah dilaksanakan, sedang dilaksanakan atau masih dalam peringkat perancangan,” katanya.




![[KEMASKINI] 10 kawasan di JB ‘blackout’, pencawang TNB terbakar](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-16-at-20.12.46-e1792152855683-1024x679.jpeg)
![[VIDEO] TNB sahkan kebakaran pencawang Kangkar Tebrau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-16-at-19.41.21-1024x967.jpeg)
