
KUALA LUMPUR – Sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas sebuah van Toyota Hiace merempuh bahagian belakang sebuah treler berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Kesas-Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa dilaporkan tersepit di bahagian pemandu, manakala tujuh mangsa lain mengalami kecederaan ringan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil dikejarkan ke lokasi.
“Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I Mohd. Redzuan Mohd. Rani, kemalangan membabitkan van Toyota Hiace yang dipercayai melanggar belakang sebuah treler.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, manakala enam yang lain dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, status seorang mangsa lagi sedang dalam tindakan pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post 9 mangsa termasuk kanak-kanak cedera nahas van, treler appeared first on Kosmo Digital.






