
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bersetuju dengan permintaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk kembali bergandingan sebaik sahaja temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menutup tirainya.
Persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua pemain itu mengadakan pertemuan dengan barisan kejurulatihan bagi membincangkan perkara tersebut, sekali gus akan menyaksikan Aaron-Wooi Yik kembali berganding pada Jelajah Eropah nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, kedua-dua pemain berkenaan akan terus bergandingan sehingga ke temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
“Semua orang tahu saya mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan Aaron-Wooi Yik semalam (kelmarin). Tanggungjawab saya ini bukannya bersifat peribadi tetapi ia adalah demi negara.
“Mereka (Aaron-Wooi Yik) cakap mahu kembali berganding, saya cakap okey dan mereka akan bermain bersama selepas Sukan Asia sehingga 2028. Saya harap ia bukan sekerat jalan kerana kita tidak boleh ubah lagi selepas ini,” katanya.
Chong Wei berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Selepas Sukan Asia, Aaron-Wooi Yik yang merupakan bekas juara dunia akan menyertai beberapa kejohanan, termasuk Terbuka Arctic pada 6 hingga 11 Oktober depan sebelum ke Terbuka Denmark (13 hingga 18 Oktober).
Sementara itu, Chong Wei turut mengakui, beliau terasa hati dengan kecaman yang dilemparkan kepadanya di laman sosial sehingga ada yang membangkitkan beliau tidak pernah memenangi Kejohanan Dunia mahupun Sukan Olimpik.
“Saya tidak mahu tengok sosial media tetapi ada orang kongsi dan memang kecil hati, namun tidak mengapa. Untuk saya, kalau ada junior-junior saya dapat jadi juara dunia, saya tetap bangga,” ujarnya.
The post Aaron, Wooi Yik ‘rujuk semula’ appeared first on Kosmo Digital.






