
KUALA LUMPUR: “Orang nak marah, saya terima, tapi saya buat yang terbaik untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan negara.”
Itu luahan hati legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang berdepan kritikan susulan kontroversi membabitkan keputusan memisahkan gandingan beregu lelaki No. 1 Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik termasuk isu Wooi Yik yang tidak disenaraikan dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya, bulan depan.
Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuatnya selaku Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM bukan didorong kepentingan peribadi, sebaliknya atas dasar tanggungjawab yang dipikul demi kepentingan badan induk itu dan negara.
Menurutnya, beliau bersedia menerima apa sahaja kritikan daripada peminat kerana menyedari setiap keputusan yang dibuat pasti ada pihak yang menyokong dan sebaliknya.
“Bagi saya, posisi saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi adalah satu tanggungjawab dan bukan bersifat peribadi. Saya terima kalau orang marah saya, ada yang cakap saya bukan juara dunia tapi nak jaga juara dunia. Bukan senang duduk di tempat ini.
“Saya buat yang terbaik untuk BAM dan negara. Saya tak ada isu tak suka pemain mana-mana,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, semalam.
Jelas Chong Wei, keputusan Wooi Yik diketepikan daripada skuad Sukan Asia juga bukan terletak di tangan beliau, malah, sebaliknya ia dimuktamadkan oleh barisan kejurulatihan beregu.
“Kita ada jawatankuasa dan jurulatih. Jurulatih yang hantar senarai nama, saya hanya bincang dan luluskan. Jurulatih cadangkan beregu pecah ganding, Aaron Chia-Tee Kai Wun memandangkan prestasi Aaron dan Wooi Yik masa itu kurang memuaskan.
“Sukan Asia empat tahun sekali, Kejohanan Dunia pula setiap tahun. Jadi jurulatih nak cuba sesuatu yang baharu. Jurulatih lebih tahu prestasi para pemain masa latihan,” katanya.
Bekas bintang No. 1 dunia itu turut mengesahkan Aaron dan Wooi Yik akan kembali bergandingan sebaik sahaja Sukan Asia berakhir dan mereka dijangka dikekalkan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak melupakan pihak yang membantu sepanjang perjalanan karier mereka.
“Saya gembira, mereka juara dunia dan pemenang pingat gangsa Olimpik. Tapi prinsip saya satu, jangan lupa siapa yang bantu kamu. Saya tahu dulu saya bermula dari kosong sehingga jadi No. 1 dunia sebab BAM. Kita kena ingat jasa pasukan kebangsaan dan negara. Itu prinsip saya,” tegasnya. – UTUSAN
The post ‘Saya buat untuk negara’ appeared first on Utusan Malaysia.






