
PRISTINA: Parlimen Kosovo terpaksa digantung persidangannya pada Sabtu selepas seorang ahli parlimen pembangkang membaling telur ke arah Perdana Menteri sementara, Albin Kurti, ketika krisis politik yang berlarutan mengancam mencetuskan satu lagi pilihan raya mengejut.
Demokrasi termuda di Eropah itu telah mengadakan tiga pilihan raya dalam tempoh kurang daripada dua tahun, dengan beberapa parlimen berturut-turut gagal berfungsi akibat perpecahan politik yang mendalam.
Kurti, yang telah mengadakan rundingan selama beberapa hari dengan parti-parti pembangkang mengenai pemilihan presiden baharu, cuba menangguhkan satu pengundian penting apabila Ahli Parlimen Time Kadrijaj membaling telur ke arahnya.
“Memalukan!” jerit Kadrijaj sambil membaling telur ke arah pemimpin itu yang duduk di barisan hadapan dewan parlimen.
Pengerusi persidangan mengarahkan siaran langsung dihentikan ketika anggota keselamatan bergegas melindungi Kurti.
Namun, pemimpin itu kelihatan tidak tergugat dengan kejadian berkenaan dan berkata: ”Jika menerima balingan telur merupakan harga yang perlu dibayar untuk meneruskan dialog, saya berbesar hati membayar harga ini.”
Kurti yang berusia 51 tahun itu bukan asing dengan gangguan dalam persidangan parlimen. Sebelum ini, anggota partinya sendiri pernah melepaskan gas pemedih mata di dalam dewan sebagai bantahan terhadap pengundian ketika mereka berada di pihak pembangkang.
Parti Vetevendosje (VV) pimpinan Kurti memperoleh undi terbanyak dalam pilihan raya terakhir pada Jun, dengan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, parti itu masih memerlukan majoriti dua pertiga untuk memilih presiden baharu, menyebabkan bekas aktivis itu terpaksa terus berunding dengan parti-parti pembangkang. – AFP/AGENSI
The post Adegan baling telur dalam sidang parlimen Kosovo appeared first on Utusan Malaysia.






