
KUALA TERENGGANU – Cubaan pihak tidak bertanggungjawab dipercayai mahu menyeleweng 3.04 tan minyak masak peket bersubsidi berjaya dipatahkan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) di Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu dekat sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi tersebut berjaya menemukan 200 kotak mengandungi minyak peket bersubsidi yang bernilai keseluruhan RM103,500.
Selain itu, sebuah lori kargo tiga tan dan kereta Perodua Bezza juga disita bagi membantu siasatan.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, serbuan yang mendapat kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu itu turut berjaya menahan empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan berkenaan.
“Kesemua minyak masak bersubsidi terbabit dijumpai disimpan di dalam sebuah lori kargo tiga tan yang diletakkan di hadapan sebuah
rumah tanpa permit.
“Siasatan awal kesemua bekalan barang kawalan itu disyaki mahu dibawa ke sempadan untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.
Terdahulu ditemui selepas melancarkan Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN di premis pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu berkenaan.
Mohd. Mufsi berkata, siasatan awal percaya kesemua suspek mendapat bekalan minyak masak paket bersubsidi berkenaan dari dua kilang pembungkusan semula barang kawalan terbabit di Hulu Terengganu dan Gong Badak, Kuala Nerus. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN patah cubaan seleweng 3.04 tan minyak masak peket appeared first on Kosmo Digital.






