hamden25/11/2026 - 18:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) berdepan tindakan saman oleh seorang pemegang saham syarikat bersekutunya, Advancecon (Sarawak) Sdn Bhd (ASSB), yang antara lain menuntut kumpulan itu menjual keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 30% dalam syarikat berkenaan kepada plaintif atau penamanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, tuntutan itu difailkan oleh Chen Siew Sin menerusi Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 9 November 2026, yang diterima peguam cara Advancecon, Tetuan Yong Wong & Chin Advocates pada 24 November 2026.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kuching menerusi Guaman No. KCH-22NCvC-55-11/2026.
Selain Advancecon sebagai defendan pertama, saman itu turut menamakan Timbalan Pengerusi Eksekutif kumpulan, Dato' Phum Ang Kia; pemegang saham 30% dan pengarah ASSB, Chong Chee Hiung; serta ASSB sebagai defendan.
ASSB merupakan syarikat bersekutu Advancecon dengan struktur pegangan saham masing-masing sebanyak 40% oleh Chen, 30% oleh Advancecon dan 30% oleh Chong.
Chen mendakwa berlaku pelanggaran berterusan terhadap Perjanjian Pemegang Saham (SA) yang dimeterai ketiga-tiga pihak pada 18 Ogos 2020 bagi mengawal selia hubungan mereka sebagai pemegang saham ASSB.
SA itu ditamatkan susulan resolusi yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa ASSB pada 23 Jun 2023, namun Chen mempertikaikan penamatan berkenaan dan mendakwa perjanjian itu masih sah serta berkuat kuasa.
Dakwaan plaintif
Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk penamatan SA yang didakwa tidak sah, perubahan penandatangan akaun bank ASSB pada 21 Julai 2023 dalam mesyuarat Lembaga Pengarah yang didakwa tidak mempunyai kuorum, serta perubahan struktur pengurusan syarikat.
Dakwaan itu turut merangkumi pelantikan Phum sebagai Pengarah Urusan dan Chong sebagai Pengarah Operasi Projek, selain penukaran jawatan serta penamatan Chen sebagai Pengerusi Eksekutif ASSB.
Chen juga mempertikaikan Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan (MSA) antara ASSB dan Advancecon bertarikh 1 Ogos 2023, keengganan mengisytiharkan dividen, pembayaran insentif RM300,000 kepada Chong serta cadangan pemerolehan jentera ASSB daripada Advancecon Machinery Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Advancecon.
Tuntutan itu turut membabitkan penyingkiran Chen sebagai pengarah ASSB pada mesyuarat agung luar biasa syarikat berkenaan pada 15 Oktober 2026.
Chen mendakwa tindakan defendan merupakan penindasan terhadapnya di bawah Seksyen 346 Akta Syarikat 2016. Terhadap Phum secara peribadi, beliau turut mendakwa wujud konspirasi melalui cara yang menyalahi undang-undang, pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan perbuatan mendorong pelanggaran kontrak.
Tuntutan jual saham, ganti rugi
Selain menuntut Advancecon dan Chong menjual pegangan saham masing-masing sebanyak 30% dalam ASSB kepadanya atau penamanya, Chen memohon supaya penjualan itu dibuat pada Nilai Saham Keingkaran di bawah SA, iaitu 90% daripada nilai pasaran saksama berdasarkan aset ketara bersih setakat Jun 2023.
Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang Advancecon dan Chong daripada berurusan dengan saham ASSB masing-masing sehingga penjualan selesai.
Antara relif lain yang dituntut ialah pengisytiharan bahawa SA masih sah dan berkuat kuasa, serta pelbagai resolusi, pelantikan dan penamatan yang dipertikaikan adalah tidak sah.
Chen juga memohon supaya beliau dikembalikan sebagai pengarah, Pengerusi Eksekutif dan penandatangan akaun bank ASSB.
Bagi MSA, beliau menuntut pengisytiharan bahawa perjanjian itu terbatal atau boleh diketepikan, selain perintah supaya Advancecon membayar balik kepada ASSB semua jumlah yang dibayar di bawah perjanjian berkenaan, yang didakwa berjumlah sekurang-kurangnya RM290,000.
Beliau turut menuntut supaya dividen diisytiharkan dan dibayar oleh ASSB atau, sebagai alternatif, ganti rugi, selain perintah supaya Chong membayar balik insentif RM300,000 kepada ASSB.
Chen juga memohon pengisytiharan bahawa saraan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif ASSB ialah RM20,000 sebulan mulai 1 Julai 2023, berserta penghakiman bagi tunggakan bayaran tersebut.
Tuntutan lain termasuk ganti rugi yang akan ditaksir terhadap Phum, injunksi interlokutori dan mandatori, serta ganti rugi am dan kos berdasarkan asas indemniti secara bersama dan berasingan terhadap semua defendan.
Sebagai alternatif, Chen turut memohon supaya ASSB digulungkan di bawah SA dan/atau Seksyen 465(1)(h) Akta Syarikat 2016.
Advancecon akan pertahankan saman
Sementara itu, Advancecon berkata tindakan saman berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kecuali kos guaman yang akan ditanggung untuk mempertahankan tindakan itu.
Kumpulan itu memaklumkan jumlah tuntutan terhadap Advancecon belum diperincikan oleh plaintif, selain tuntutan pembayaran balik jumlah yang dibayar di bawah MSA sekurang-kurangnya RM290,000, ganti rugi yang akan ditaksir dan kos guaman.
Justeru, sebarang anggaran kerugian, jika ada, tidak dapat dipastikan pada peringkat ini.
Advancecon telah melantik Tetuan Yong Wong & Chin Advocates untuk mewakilinya dan berhasrat mempertahankan saman itu dengan bersungguh-sungguh.
Hujah Advancecon
Berdasarkan nasihat peguam caranya, kumpulan itu mempertikaikan dakwaan plaintif dan menyatakan penamatan SA telah diluluskan pemegang saham ASSB pada mesyuarat agung luar biasa 23 Jun 2023.
Advancecon turut menegaskan penyingkiran Chen sebagai pengarah ASSB pada mesyuarat agung luar biasa 15 Oktober 2026 dilaksanakan secara sah, manakala penamatan pekerjaan dan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif ASSB dibuat berdasarkan dakwaan salah laku sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Kumpulan itu juga mempertikaikan dakwaan berhubung pelaksanaan tanggungjawab fidusiari Chen sebagai pengarah ASSB.
Menurut Advancecon, perubahan penandatangan akaun bank dan struktur pengurusan ASSB, serta pemeteraian MSA, dilaksanakan berdasarkan kelulusan korporat yang sewajarnya.
Advancecon berkata, keputusan Guaman itu bergantung, antara lain, pada bukti yang dikemukakan serta dapatan Mahkamah semasa perbicaraan.
Kumpulan itu akan membuat pengumuman lanjut berhubung sebarang perkembangan material dalam Guaman berkenaan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com






