JHM kembali catat untung bersih bagi 1HFY26 disokong hasil meningkat 57% kepada RM219 juta

Business & Finance
26 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JHM kembali catat untung bersih bagi 1HFY26 disokong hasil meningkat 57% kepada RM219 juta Image from: JHM kembali catat untung bersih bagi 1HFY26 disokong hasil meningkat 57% kepada RM219 juta amree26/08/2026 - 14:24 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 OgosJHM Consolidation Berhad mencatatkan prestasi positif dengan kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM7.62 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Pencapaian itu, dipacu lonjakan pendapatan kira-kira 56.87% kepada RM218.37 juta berbanding hanya RM139.21 juta bagi tempoh sama tahun lalu, di sebalik pelbagai cabaran perniagaan yang dihadapi.

 

Kumpulan namun tetap berdepan dengan beberapa cabaran utama termasuk ketidaktentuan perdagangan global, isu gangguan rantaian bekalan, serta turun naik kadar pertukaran mata wang asing (forex).

 

"Selain itu, JHM menguruskan peningkatan keperluan modal kerja dan kos inventori bagi menyokong aktiviti pengeluaran untuk banyak projek sedia ada dan baharu," maklumnya kepada Bursa Malaysia.

 

Bagaimanapun, prospek kekal positif untuk baki tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, disokong oleh permintaan yang terus menggalakkan daripada pelbagai segmen automotif dan perindustrian.

 

Pertumbuhan jualan itu ujarnya, disumbangkan oleh prestasi cemerlang dalam kedua-dua segmen teras kumpulan berkenaan, sekali gus membawa kepada peningkatan volum operasi semasa secara keseluruhan.

 

Seiring pertumbuhan hasil, JHM merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM11.31 juta bagi enam bulan itu, berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM14.30 juta pada tempoh sepadan 2025.

 

"Keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak kepada RM7.62 juta berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM14.90 juta, susulan peningkatan kecekapan operasi dan penyerapan kos tetap lebih baik," katanya.

 

JHM_DagangNews2026

 

Bagi prestasi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 sahaja, hasil meningkat 57.53% kepada RM117.53 juta berbanding RM74.60 juta dalam suku kedua tahun lalu, disokong peningkatan tempahan pelanggan utama.

 

Dari segi prestasi segmen bagi 1HFY26 jelas JHM, segmen automotif kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pendapatan sebanyak RM130.47 juta dan keuntungan untuk segmen tersebut sebanyak RM7.01 juta.

 

Manakala, segmen perindustrian sepanjang tempoh berkenaan mencatatkan hasil luaran yang mencecah sebanyak RM87.79 juta dengan keuntungan segmen yang hampir setara iaitu sebanyak RM6.85 juta.

 

"Dari aspek kewangan setakat 30 Jun 2026, inventori naik 20% kepada RM144.33 juta, manakala akaun belum bayar perdagangan meningkat 80% kepada RM122 juta bagi menyokong pengeluaran," jelasnya.

 

Ujar JHM, aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi syarikat berkenaan pula namun mencatatkan peningkatan kukuh kepada sebanyak RM20.24 juta berbanding hanya RM6.16 juta pada tahun lepas.

 

Lembaga Pengarah menzahirkan keyakinan kumpulan mampu mengekalkan peningkatan prestasi ini untuk baki tahun kewangan, dengan fokus berterusan kepada pengoptimuman kapasiti dan pengurusan kos.

 

Sementara itu, tiada sebarang pembayaran dividen yang diisytiharkan atau disyorkan lembaga berkenaan untuk tempoh suku tahun semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved