'Agenda reformasi perlu diteruskan, jangan ikut keselesaan atau polemik politik' - Rasuah Busters

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Agenda reformasi perlu diteruskan, jangan ikut keselesaan atau polemik politik' - Rasuah Busters
Agenda reformasi negara perlu diteruskan oleh Parlimen 15 tanpa mengikut keselesaan ataupun mana-mana polemik dalam parti politik.

SHAH ALAM - Agenda reformasi negara perlu diteruskan oleh Parlimen 15 tanpa mengikut keselesaan ataupun mana-mana polemik dalam parti politik.

Rasuah Busters berkata, reformasi institusi merupakan keperluan rakyat dan negara, justeru ia tidak wajar dilihat sebagai agenda dimiliki mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Menurutnya, kerajaan dan pembangkang digesa melihat reformasi institusi melalui ukuran yang melangkaui kepentingan politik dalam usaha memperkukuhkan institusi, membendung salah guna kuasa dan memperteguh usaha membanteras rasuah.

"Tumpuan reformasi perlu dipersetujui melalui konsensus nasional antara kerajaan dan pembangkang bagi merealisasikan beberapa pembaharuan undang-undang.

"Antaranya, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Ombudsman, penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri dan kemas kini Akta Kesalahan Pilihan Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rasuah Busters menambah, peluasan dan pengukuhan jawatankuasa Parlimen dan penyemakan belanjawan yang lebih terinstitusi turut perlu diberi perhatian.

“Untuk itu, mekanisme rundingan reformasi merentas parti harus diadakan bagi menentukan kesesuaian menterjemahkan reformasi tersebut sama ada melalui pekeliling dan arahan pentadbiran, peraturan serta tatacara operasi yang lebih jelas.

“Ia termasuk pengukuhan garis panduan dan pemantauan, penggubalan atau pindaan undang-undang termasuklah Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya.

Dalam pada itu, Rasuah Busters memberitahu, libat urus meluas bersama masyarakat sivil dan pemegang taruh perlu diteruskan bagi memastikan komitmen reformasi yang telah digerakkan sepanjang Parlimen ke-15 dapat diselesaikan dalam tempoh penggal yang berbaki.

Tegasnya, kemelut atau kepentingan politik bukan alasan untuk menggagalkan keseluruhan agenda reformasi.

“Memperteguh demokrasi bererti memperkukuh ekonomi. Kebertanggungjawaban awam membina keyakinan rakyat dan itulah asas kemakmuran dan kestabilan negara,” ujarnya.

Rasuah Busters mengingatkan pengukuhan agenda anti rasuah perlu menjadi teras kepada reformasi institusi kerana institusi yang bebas, telus dan bertanggungjawab merupakan benteng kepada salah guna kuasa, ketirisan dan rasuah.

“Ia jaminan bahawa tiada individu, jawatan atau parti mengatasi undang-undang. Dilaksanakan tanpa takut, tanpa pilih kasih, tanpa sebarang pengaruh," katanya.

Menurut Rasuah Busters lagi, kerajaan mahupun pembangkang harus bersedia menunaikan tuntutan reformasi institusi kali ini agar ia tidak perlu lagi diulang-ulang pada pilihan raya akan datang kerana peluang yang ada adalah sekarang demi kepentingan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved