Agong, Raja Permaisuri berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2026

31 Aug 2026 • 10:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agong, Raja Permaisuri berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2026

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini, membuka tirai rasminya kira-kira pukul 8 pagi ini.

Mengangkat tema, ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’ acara sempena kemerdekaan negara ke-69 dimulakan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pukul 8 pagi.

Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.

Lagu Negaraku sekali lagi kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang bersama tembakan sebanyak 14 das tembakan meriam.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh Timbalan Pesuruhjaya Bomba, Datuk Abdul Razak Muda selain disertai 69 wira merah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Terdahulu, kenamaan lain termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di tapak sambutan kira-kira 7.45 pagi.

Sebanyak 76 kontinjen membabitkan 10,819 akan mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan, yang turut menampilkan sejumlah 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias serta 328 aset darat, laut serta darat selain 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Selain itu, acara kemuncak dinantikan pengunjung turut melibatkan persembahan udara dengan formasi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia membabitkan persembahan formasi aset udara termasuk pesawat tempur SU-30 MKM, Hawk, A400M dan pelbagai jenis helikopter.

Acara pada hari ini juga bakal diteruskan dengan persembahan khas ‘Rentak Madani Paluan Tradisi’ selain turut menawarkan penampilan istimewa Faizal Tahir bagi menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan 2026 bertajuk Aku Berjanji. – UTUSAN

The post Agong, Raja Permaisuri berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved