Ahmad Zaki Resources selesaikan tuntutan hutang RM69.3 juta dengan AmBank dan AmBank Islamic

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahmad Zaki Resources selesaikan tuntutan hutang RM69.3 juta dengan AmBank dan AmBank Islamic Image from: Ahmad Zaki Resources selesaikan tuntutan hutang RM69.3 juta dengan AmBank dan AmBank Islamic amree09/10/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt – Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) menyelesaikan tuntutan hutang berjumlah RM69.3 juta oleh AmBank (M) Bhd dan AmBank Islamic Bhd terhadap anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), susulan kegagalan pembayaran kemudahan pembiayaan sejak Jun 2025.

 

Penyelesaian secara baik itu dicapai selepas kedua-dua institusi kewangan memfailkan tindakan sivil terhadap AZSB sebagai penghutang utama dan AZRB sebagai penjamin, menurut makluman kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu kepada Bursa Malaysia.

 

Daripada jumlah berkenaan, AmBank Islamic menuntut RM30.84 juta bagi kemudahan Cashline-i, RC-i dan STF-i, manakala AmBank menuntut RM38.46 juta melibatkan kemudahan RC1 dan RC2.

 

"Kegagalan pembayaran pada 25 Jun 2025 berpunca daripada kekangan aliran tunai sementara yang dihadapi AZSB sehingga menjejaskan keupayaan anak syarikat itu memenuhi obligasi pembiayaannya," jelas AZRB.

 

Selepas tindakan undang-undang diterima, AZSB dan AZRB memulakan rundingan dengan kedua-dua pemberi pinjaman bagi mencapai penyelesaian secara baik.

 

Kumpulan itu memaklumkan penghakiman persetujuan bagi kedua-dua kes telah direkodkan masing-masing pada 16 April 2026 dan 20 April 2026, sekali gus menyelesaikan tuntutan berkenaan.

 

Ahmad Zaki Resources_DagangNews2026

AZRB tidak menjangkakan prosiding undang-undang itu memberi kesan buruk yang material terhadap perniagaan, kedudukan kewangan atau operasi kumpulan memandangkan perkara berkenaan telah diselesaikan.

 

Sehingga tarikh pengumuman pada 9 Oktober 2026, AZRB turut mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang notis daripada pemberi pinjaman lain berhubung kemungkinan kemungkiran silang yang berpunca daripada kegagalan pembayaran tersebut.

 

AZSB bukan anak syarikat utama AZRB, dengan sumbangan sebanyak 6.8% kepada aset yang digunakan kumpulan, jauh di bawah ambang 70% yang ditetapkan bagi penentuan anak syarikat utama.

 

Bagaimanapun, AZSB turut memfailkan permohonan pada 20 Ogos 2026 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengadakan mesyuarat pemiutang bagi tujuan penyusunan semula hutang, serta permohonan perintah sekatan di bawah Seksyen 368(1) Akta Syarikat 2016. 

 

Pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 21 Oktober 2026.

 

Menurut AZRB, pemfailan permohonan perintah sekatan tersebut mencetuskan moratorium statutori automatik di bawah Seksyen 368(1A) Akta Syarikat 2016, yang secara umumnya menghalang prosiding terhadap syarikat daripada dimulakan atau diteruskan tanpa kebenaran mahkamah.

 

Saham AZRB ditutup tidak berubah pada 8.5 sen pada 9 Oktober 2026, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM55.91 juta, manakala harganya telah susut 46.88% sejak awal tahun. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved